Friday, April 18, 2014

10 Perkara Yang Kita Lakukan, Yang Buat Kita Haru Biru

Sambungan...

SELALU kita baca tentang teknik atau cara untuk menambah BAHAGIA (bukan menambah bahaya, dengan menambah 'payung emas' dsb). Law of Attraction; 'Hukum Tarikan' menganjurkan - apa yang kita fikir, akan jadi diri kita.

Berikut adalah 10 (6-10) perkara yang boleh sabotaj keharmonian, kebahagiaan dan ketenangan kita:

6. Terlalu hargai posesi (harta benda) melebihi pengalaman

Bila kita punya terlalu banyak 'mahu', kita akan lupa apa yang benar-benar 'perlu'. Kita perlukan sebuah kenderaan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, namun 23 biji kenderaan yang sama fungsinya (cth. Ferrari merah, kuning, cokelat, kelabu taik anjing etc.) adalah kemahuan yang KOSONG. Tiada erti. Mungkin kita bertungkus lumus untuk mendapatkan sebiji 'kereta sukan' untuk berlumba, yang kita eksplorasi had kuasanya - berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan enthusiast (pencinta) - ia jauh lebih bermakna dari menggilap 23 biji kereta dan hanya menayang sahaja.

Nota kaki (menyimpang lagi): Manusia adalah seperti mesin. Perlu dieksplorasi had kemampuannya. Kereta berkuasa kuda 500bhp, kalau hanya diguna untuk pergi ke pasar basah Selayang, lambat laun akan jadi 'lemau' kerana tidak diuji had kuasanya. Mungkin dengan jumlah wang yang sama, kita mampu membeli SUV atau 4WD mewah yang boleh mengangkut setengah tan ikan mayong dari pasar tersebut. Berbicara soal mengenali kemampuan dan keperluan diri. Sama juga dengan wanita, jika kita tidak pernah mengeksplorasi ia, kita tidak akan tahu apa yang mampu dilakukannya. Untuk yang berkahwin sahaja; 'isteri umpama ladang, terokailah ia'. Sekian.

7. Pasrah

Bukan senang nak senang, dan bukan susah nak susah. Kalau tak pecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Berakit ke hulu, berenang ke tepian, bersakit dahulu, bersenang kemudian.

Kalau jadi senang itu senang, semua orang sudah senang.

Ah, banyak pulak berperibahasa. Harap-harap anda faham. Kalau tak faham juga, mari sini aku bajak muka tu (gurau kasar). Ramai orang kita yang pasrah, berserah kerana MALAS untuk SUSAH.

Cth.

1. Berapa ramai antara kita yang berkereta ke tempat kerja, dan mengeluh sepanjang hari sebab trafik sesak? Berapa ramai yang boleh cari alternatif lain, tapi tak buat, sebab malas? Jalan kaki, naik basikal, naik Caferacer (motorsikal), naik LRT, naik helikopter atau tunggang unta sekalipon - pasti ada cara. Jimat masa berharga untuk dihabiskan makan malam bersama keluarga misalnya.

2. Berapa ramai antara kita yang sanggup beratur panjang di tol-tol lebuhraya sebab malas nak beli/topap (top up) Touch 'n Go, yang padahal terdapat di Kad Pengenalan kita? Berapa ramai pula yang tak tahu dan tak ambil tahu, IC kita ada fungsi T'nG?

3. Berapa ramai antara kita yang belum ada pasangan? Berapa ramai antara kita yang sudah ada pasangan, tetapi tidak puas hati, dan terus bersabar sebab tak cari jalan keluar (penyelesaian)? Berapa ramai antara kita yang sudah ada pasangan, tetapi ingin menambah pasangan, tapi tak tahu cara? (Soalan akhir tiada kena mengena dengan topik ini)

8. Biarkan ketakutan bukan kreativiti yang mengawal diri

Itu takut, ini kecut. Orang MALAS cari ALASAN. Orang RAJIN cari JALAN. Jadi kreatif, guna kapasiti otak kita yang luas, untuk selesaikan masalah. Atau cari orang-orang yang layak kita berguru.

9. Bakhil

BERI dan kita akan TERIMA. 

Orang MISKIN (60%) akan terima dan terima.
Orang BIASA (30%) akan terima kemudian beri.
Orang KAYA (8%) akan beri kemudian terima.
Dan orang MULIA (2%) akan beri dan beri.

Jadi orang kaya sudahlah (senyum).

Sebagai pasangan, kita selalu fikir tentang apa yang pasangan kita buat dan beri pada kita. Sebelum kita buat dan beri kepadanya. Hukum di atas adalah mudah, kita hanya perlu fikirkan apa yang kita perlu buat dan beri pada orang, dan dengan izinNya, kita akan dapat HABUAN kita.

10. Gagal hidup dengan penuh makna!

Kita terlalu sebok bimbang akan masa depan dan hidup dengan masa silam. Keharmonian, kebahagiaan dan ketenangan sebenar datang dari sifat contentment (puas dan syukur), hidup sepenuhnya dalam waktu sekarang. Live the moment

Mengakhiri dengan serangkap ayat klise; hari ini adalah apa yang kita usahakan semalam, dan esok adalah apa yang kita usahakan hari ini.

TAMMAT

10 Perkara Yang Kita Lakukan, Yang Buat Kita Haru Biru

SELALU kita baca tentang teknik atau cara untuk menambah BAHAGIA (bukan menambah bahaya, dengan menambah 'payung emas' dsb). Law of Attraction; 'Hukum Tarikan' menganjurkan - apa yang kita fikir, akan jadi diri kita.

Berikut adalah 10 perkara yang boleh sabotaj keharmonian, kebahagiaan dan ketenangan kita:

1. Berdendam 

Nabi Muhammad SAW juga berpesan, 'sebelum tidur, maafkanlah semua orang'. Tapi aku faham, bila kita pernah disakiti; ditipu, disamun, dikhianati atau dicabuli, lebih-lebih lagi dengan orang yang kita percaya dan rapat - kita akan berdendam. Dendam itu RACUN. Bila kita marah, benci, dan sakit hati terhadap orang lain - dan kita berniat untuk 'memulang paku buah keras', perasaan negatif itu akan memakan diri. Kalau tenang itu air, dan marah itu api, cuba simpan api dalam perut - mau terbakar ulu hati.

Cara aku, bila dah makin dewasa ni, ialah dengan terus melakukan perkara-perkara elok, menarik dan menguntungkan - supaya aku tidak ada masa untuk memikirkan soal dendam. Aku tanamkan rasa simpati pada si penipu, penyamun, pengkhianat dan pencabul itu. Kerana bila makin dewasa, aku makin faham, yang setiap perbuatan akan mendapat balasan. Baik dibalas baik, buruk dibalas buruk. Layan anak bini, lebih baik.

2. Berhenti mengejar impian

Ah, ini yang paling sedih. Dulu masa aku muda belia, sewaktu menonton National Geographic berkenaan rutin hidup haiwan, aku tersenyum dan berfikir sendirian, "Kasihan haiwan, keluar sarang buru makanan, makan, balik sarang tidur, esok ulang semula. Tak ada TV, tak ada muzik, kereta Proton Saga dsb." Namun, bila menganjak dewasa, setelah tinggal lama di Jepun, dan melawat hampir semua negara-negara Asia; aku sedar, kebanyakan dari kita juga sama melayari 'rutin hidup haiwan' - keluar rumah pergi kerja, kerja untuk cari makan, balik rumah tidur, esok ulang semula. Walau ada TV, muzik dan kereta Perodua Kancil - bila kita hanya hidup sekadar untuk hidup, tanpa impian, kita juga sama dengan haiwan.

Aku tak berniat untuk berbahasa kasar, menyamakan kita dengan haiwan, tapi itulah hakikatnya. Aku ada ramai kawan-kawan yang waktu remaja gemar bermain muzik. Memang dengan muzik, agak sukar untuk menampung kehidupan, namun mereka tetap berkarya, dan mencari ruang untuk berkongsi bakat dengan dunia. Ada yang dapat membuat pendapatan sambilan dengan muzik mereka. Dan yang paling penting, mereka sentiasa hidup mengejar impian.

3. Tidak cari masa buat apa yang kita suka

Yang ini juga berkait rapat dengan nombor dua. Berapa ramai antara kita yang murung, menyumpah seranah bila datang sahaja penghujung hari Ahad? Kerana Isnin sudah TERPAKSA bekerja semula. Mengarungi lautan sesak kereta, bahang aroma peluh dalam tren yang padat manusia, mengadap wajah Pengurus yang menikam jiwa (secara literal) dan selalu mencari silap kita.

Steve Jobs pesan, 'carilah sesuatu yang kita suka buat (kerja), dan jangan berhenti selagi kita belum jumpa.' Aku faham, ramai antara kita yang tak suka kerja yang mereka lakukan, apatah lagi bila makan gaji. Berlainan dengan mereka yang ada bisnes sendiri misalnya, sentiasa bertungkus lumus memastikan solidariti dalam kompeni dan vitaliti diri dan perniagaan terkawal - mereka pasti suka dan berahi untuk hidup hari-hari. Berahi dengan kerjayalah

Sebelum kahwin dan menjad ayah, aku gemar study tentang human science: women and their mind. Walau penjelasanku lebih kedengaran macam alasan untuk menghalalkan sikap 'Buaya Darat', namun ilmu yang aku peroleh dapat membantu rakan-rakan yang mendambakan kehadiran pasangan hidup. From a player to a coach. Asal niat ikhlas. Dan aku amat 'berahi' dalam perkongsian ilmu dengan rakan-rakanku itu. 

Jadi, luangkan masa buat apa yang kita suka; menulis, melukis, mengumpul setem, atau mengajar CARA PIKAT WANITA dsb.

4. Berkawan dan berhubung bagai 'lepas batuk di tangga'

Di metropolis macam Kuala Lumpur, ramai yang hidup 'sendiri-sendiri'. Tidak ada yang bertegur sapa lagi. Jiran sebelah rumah mati keras pon, bila masuk Internet, baru kita perasan. Yang berkawan di pejabat misalnya, hanya kenal nama depan sahaja (nama belakang = lepas bin/binti). Kalau bercerita, kita canangkan yang elok-elok cuma.

Hargai sahabat-sahabat kita. Terutamanya dari kampung, dan waktu di sekolah dulu. Waktu kita tak pernah malu bercerita hingga perihal seluar dalam yang koyak. Belajar bersama, main bersama (hey 3x, tiga sekawan). Apa yang aku cuba utarakan di sini, ialah kepentingan berbicara dari hati ke hati. Deeper Conversations bak kata Yunalis Zarai. 

Nota kaki (menyimpang): Salah satu langkah penting dalam PIKAT; Buka - Tarik - Tolak - Goda, iaitu 'tolak', di mana aku syorkan kepada lelaki yang ingin memikat wanita, supaya berkomunikasi secara 'dalam' atau 'spiritual' dan 'emosional'. Selepas 'tarik' (proses attraction), si wanita perlu lihat, walaupon James Bond yang gagah ada kelemahannya, ada gundahnya. Baru lengkap proses perkenalan. Sebelum digoda.

5. Banding-banding!

Ini orang kita memang terer (handal). Salah satu benda yang negatif produk Media Sosial, ialah kita suka 'jaga tepi kain' orang lain. Memang ada segelintir yang sengaja menayang kesenangan hidup mereka, dengan harapan ada yang bereaksi, cemburu, iri dsb. Tapi kita perlu faham, mereka yang mencari validisi (pengiktirafan) orang lain tentang hidup mereka, adalah orang yang sunyi sepi. Yang memerlukan pujian orang lain untuk rasa hidup dan dihargai. 

Kita tak tahu perjalanan hidup seseorang itu. Betapa susah payah, sebelum kecap kesenangan. Rumah besar, kereta berderet, namun belum dikurniakan cahayamata, atau punya Isteri yang serupa Naga. Mereka juga ada cerita tersendiri, dan kekurangan dalam kelebihan.

Kata orang puteh lagi, "silence is the best revenge". Bukan soal dendam, namun bila ada yang cuba menunjuk-nunjuk dengan harapan kita bereaksi, DIAM adalah ubat paling mujarab. Manusia yang suka perhatian, akan benci pada 'boh-layan' (tiada layanan), kerana mesej mereka tidak sampai. Dan paling penting, hargai apa yang kita ada; tulang empat kerat yang tiada cacat, udara dalam paru-paru bersih tanpa asap rokok, anak-anak yang bijak dan cerdas, Isteri yang cantik dan 'berahi' dengan kita (gurau).

...bersambung

Monday, December 23, 2013

Wasabi dan Sambal Belachan (Episod 2)

直美さん:あなたがいない間、彼女は、毎晩泣いてたのよ!大変だったわ、あたし…
(Anata-ga inai aida, kanojyo-wa, maiban naitetanoyo! Taihen-dattawa, atashi...)
"Selama ketiadaan kamu, dia, setiap malam menangis! Yang teruknya, saya..."

Ayat pertama Naomi-san, waktu menjemput aku di Narita Airport. Maya seperti mahu tak mahu, menerpa aku. Rindu tapi malu.

Naomi-san, Ibu kepada Maya, mereka tak ubah bagai adik beradik, pada akrab dan cantik. Lebih lagi setelah bapanya meninggalkan mereka, waktu Maya masih di sekolah rendah.

真弥:ちょっと太ってきたね!美味しくて、懐かしい味の物ばっかり、食べて来たでしょう?
(Chotto futotte-kitane! Oishikute, natsukashii aji-no mono bakkari, tabete-kita desyou?)
"Awak dah gemuk sikit lah! Asyik makan benda yang sedap dan nostalgia saja kan?"

Perli Maya, tatkala sedar perubahan 'tembam berair' pada pipiku. Yelah, dua bulan bercuti musim panas di Malaysia, memang melahap puas segala aneka juadah.

Pejam celik, dah lebih setengah tahun, aku bersama dengan Maya. Masih terbayang segar, kereta Daihatsu Max dia yang meluncur ke dalam longkang, waktu menghantarku pulang. Jalan bersalji memang licin dan bahaya. Terpaksa aku tumpangkan Maya di 'rumah kotak' sempitku, malam itu.

Dua bulan memang lama, memang dalam, rindu dendamku pada Malaysia. Bukan sahaja makanan, namun juga pada gadis Melayu. Aku hanya lelaki biasa, yang lemah dan punya khilaf.

Berbundut-bundut dia bekalkan aku mee Maggi pulang ke Jepun. Dan dia juga yang berbuyut-buyut temankan aku makan Maggi goreng di mamak SS14, PJ. Dia, si gadis Universiti Malaya, dan Hana namanya...

つづく


*Petikan dari Facebook: Belajar Bahasa Jepun dengan Che'gu JD (Jul '13)

Wasabi dan Sambal Belachan (Episod 1)

MAYA () namanya. Gadis ayu, si penjual bunga. Musim dingin tahun 2003. Aku juga berkerja di kedai bunga. Kalau dalam resume, 'mat bunga' mungkin sesuai dalam ruangan 'pengalaman bekerja'. Namun job deskripsi aku, ialah menghambur kudrat memproses bunga, sebelum dijadikan gubahan indah. 'Buruh kasar' lebih tepat, agaknya.

弥:すいません、あの箱、運んで頂けませんか?
(Suimasen, ano hako, hakonde itadakemasenka?)
"Maafkan saya, kotak itu, boleh tolong angkat?"

Aku:すげ儀正しいね。良いよ~
(Suge~! Reigi-tadashiine. Iiyo...)
"Hebat! Sungguh sopan-santun. Baiklah..."

Kami bertukar senyum. Gadis Jepun memang terkenal dengan sopan dan santun, lemah dan lembut. Maya tidak terkecuali. Dia baru lepas sekolah menengah, baru 18 tahun. Namun berdikari.

Aku di tahun tiga pengajian, Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Sistem. Mencari duit lebih waktu cuti musim sejuk, untuk tukar ekzos buluh pada kereta sukanku (sportscar).

Hari itu kerja agak berat. Perlu kejar waktu untuk cukupkan permintaan pelanggan, yang banyak dari kedai bunga, berhempas pulas untuk jualan musim Krismas dan tahun baru.

Yamaguchi Koujocho, pengurus kilang yang agak rapat denganku, meminta aku tinggal membantu. Hadi, junior di Universiti, yang tumpangkan aku datang, mahu pulang. Aku curi pandang pada Maya, dengan isyarat bisik di bibir...

Aku
:俺を送ってくれ~
(Ore-wo okutte kure~)
"Tolong hantar aku pulang..."

弥:うん~
(Un~)
"Ok..." (Cara gadis Jepun kata
はい(hai') atau 'ya')

Maya mengangguk malu, tapi mahu...

つづく= tsudzuku = bersambung

*Petikan dari Facebook: Belajar Bahasa Jepun dengan Che'gu JD





Tuesday, March 19, 2013

ALIFBATA - Zainab anak Tok Kadi

ALIF - Ada teratak di ujung kampung
Ba - Bawah cermin kopak ada kotak
Ta - Tersembunyi dalamnya si gadis murung
Sa - Sungguh cantik walau tak berbedak

Jim - Jeram kota deras ku arung jua
Ha - Hampir lemas dalam rimba berahi
Kha - Khilaf dan lemah aku pada indahnya
Dal - Dada dan pinggul menggegar rohani

Zal - Zalim andai tak ikut kata hati
Ra - Resah belikat selinap ke pinggang
Zai - Zainab namanya anak Tok Kadi
Sin - Singa umpama ayahanda nan garang

Shim - Syumul lelaki menghambat wanita
Sod - Solat dan puasa modal gurindam
Dod - Domba dan adu ku hirau tiada
To - Tok kadi tolong anakmu ku idam

Zo - Zorro kampung itulah gelaran
Ain - Angan menjadi jaguh wanita
Ghain - Ghazal untuk Zainab aku dendangkan
Fa - Fantasi hampir menjadi nyata

Qhaf - Qhuldi bikin senjata Hawa
Kaf - Komplot si Iblis jatuhkan Adam
Lam - Lambat laun punahlah hamba
Mim - Mimpi Zainab lencunkan tilam

Nun - Nun teratak di ujung kampung
Wau - Walhal cermin kopak atas kotak
Ha - Hati Zainab cinta yang agung
Amzah - Aku larikan tak sempat berbedak

Ya - Yarrr, aku sudah kidnap Zainab anak Tok Kadi

Monday, October 1, 2012

JEPUN satu!



ルイ川 Rui Gawa
作曲(sakyoku)Songアイザット/アナス(Aizatto/Anasu)
作詞(sakushi)Malay Lyricsアイザット/アナス(Aizatto/Anasu)
翻訳(honyaku)Japanese Lyricsナディル/JD(Nadiru/JD)

瞳を閉じてくれて、hitomi-wo tojite kurete
地球の声を聞いて、chikyu-no koe-wo kiite
疑いなく、utagai-naku ここは君の場所、koko-wa kimi-no basho
変わったとしても、kawatta to-shitemo心には残るよ、kokoro-ni-wa nokoru-yo
信じているならば、shin-jite-iru naraba
Pejamkan matamu untukku
Dengarlah dunia berkata-kata
Usah kau ragu di sini tempatmu
Walau berubah di mata kita tetap indah
Selagi kau masih percaya

笑って、悲しむ、分かれて、waratte, kanashimu, wakarete
道のりが行き詰まる、michi-nori-ga yuki-zumaru
この全てが願うものだろうか、kono subete-ga negau-mono darouka
ただこの世を追い続けてるだろうか、tada kono yo-wo oi-tsu-zu-keteru darouka
信じていたいのさ、shin-jite-itai-no-sa
Ketawa kecewa terpisah
Jalan yang lurus kian berhalang
Adakah semua ini yang ku inginkan
Ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
Ku harap ku masih percaya



この全てが願うものだろうか、kono subete-ga negau-mono darouka
ただこの世を追い続けてるだろうか、tada kono yo-wo oi-tsu-zu-keteru darouka
信じていたいのさ、shin-jite-itai-no-sa
Adakah semua ini yang ku inginkan
Ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
Ku harap kau masih percaya

瞳を開いて、hitomi-wo hiraite
君を抱いて、kimi-wo daite
僕らはお互い、bokura-ha otagai若くて幼い、wakakute osanai
信じて欲しいのさ、shin-jite-hoshii-no-sa
Buka matamu
Biar aku memelukmu
Kita bersama masih muda masih mentah
Ku harap kau masih percaya

今までに、ima-madeni(7x)
Selama ini (7x)
~終~


Monday, September 17, 2012

耳をすませば (mimi wo sumaseba) - dengar-dengarlah...


PEREMPUAN, mereka dianugerahkan dengan pelbagai cara untuk meluahkan perasaan. Bercakap (walaupon dengan bahasa yang jarang-jarang difahami), membebel, meroyan, menitiskan air mata, menangis teresak-esak, menangis di tahap 'raksasa gaban' (rupa yang amat hodoh dengan hilaian lagi memekakkan); sejak dari mula memakai tuala wanita, sehinggalah mereka mula belajar 'diam' tatkala disingkap menopaus. Mereka sungguh 'bertuah'.

Lelaki, kita cuma dianugerahkan Tuhan dengan muzik untuk meluahkan perasaan, dan 'bersembunyi' dari bunyi-bunyian yang tidak menyenangkan lagi membingitkan.

Dari lagu Jay Jay 'Kita Insan Biasa', yang memberitahu beliau tidak kisah Dayangku Intan masih dara atau tidak. Kepada lagu Awie meminta maaf membelasah gadisnya di 'Tragedi Oktober' (sebelum beliau diangkat menjadi ayahanda kumpulan Naga Sakti). Dan lagu Justin Bieber menasihati remaja bagaimana hendak membuat anak dalam 'Baby, baby, baby, ooh...' dan sebagainya.

Lelaki berkomunikasi dengan muzik. Jadi, dengar-dengarlah, wahai wanita.
(Kentut juga sejenis muzik, yang lahir dari bawah hati seorang lelaki. Bila dia sudah selesa melepaskan bunyi-bunyian itu, maknanya dia sudah mula mempercayai wanita itu. Jadi, hargailah dan abadikanlah detik indah itu, wahai wanita.)

Sesungguhnya, bukan niat kami untuk melukai, cuma ada kalanya, kami tidak mengERTI...

Monday, September 10, 2012

ERTI

MAAF, rasa nak 'berkarat' pula hari ini. 'Datang mentari' (kata lawan bagi 'datang bulan') gamaknya.

Lagu 'ERTI' aku tulis berdasarkan pengalaman sebenar. Dulu, waktu zaman 'jahiliyah', aku punya ramai gadis. Genre pilihan aku amat mudah dan cetek. Aku tidak memilih. Cukuplah sekadar cantik. Sekali dan sekala, yang badan ranum nan berlekuk sana sini, pon jadilah. Model, orang TV, orang radio, tukang layan dalam kapal terbang, tukang sapu sampah rumah pangsaku dan ustazah pilihan - setia dan sedia mendampingiku.

Tapi akhir sekali, Yang Maha Mengetahui tinggalkan aku dengan pilihan yang paling sukar. Dua orang survivor. Yang perlukan aku membuat pilihan.

Lagu ini untuk siapa?

Cerita lanjut akan aku dedahkan dalam Novel sulungku yang berkonsep 'How-to', bertajuk:
'Buaya Darat? - Manual Playboy Melayu'

Jika waktu membenarkanku
Biar masa ku putar semula
Kisah antara kau dan aku
Apa sampai di sini begini

Yang ku mahu hanya dia tahu
Aku yang sesal di atas dosa
Cinta antara kau dan aku
Patut ku usung hingga ke syurga

Waktu bersamamu, aku tak pernah peduli
Biarkan hatimu layu, kering dan mati
Akan ku kutip luruh lerai cintaku
Agar kau kembali

Aku tak pernah menyangka kau akan pergi
Tinggalkan semua yang kau beri, dari hatimu
Aku selalu menyangka, kau 'kan menjadi saksi
Apa erti cintaku...

Sunday, September 2, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Playboy Melayu

PAYAH. 'Otoko wa tsuraiyo', lelaki itu payah. Menjadi seorang lelaki itu payah, amat. Menjadi seorang ketua, imam, pahlawan, boss, pejuang dan pencinta. Terutama sekali untuk menjadi seorang lelaki kepada seorang perempuan, dan dalam kes aku, perempuan-perempuan.

Remdhan tahun itu juga amat payah. Puasa kali pertama di perantauan. Jauh dari ibu. Jauh dari Lina. Jauh dari air tebu, dan murtabak yang kurang lebih nasibnya selalu berakhir dalam tong sampah.

Apakah sebab utama Remdhan tahun itu amat payah? Adakah kerana puasa pertamaku di negara matahari terbit ini, terpaksa aku jalani di sebuah hotel yang mungkin dimiliki oleh seorang mafia? Kerana terpaksa menahan nafsu, waktu bekerja sambilan bermain muzik di kelab yang juga menyajikan pertunjukan tari tiang telanjang? Atau kerana tetamu-tetamunya yang kalau silap aku gauli, mungkin boleh mengakhiri nasibku dalam tong sampah? Tidak.

Datang gelap kerana tiada terang. Datang sunyi kerana tiada bunyi. Kejahatan bukanlah satu bentuk yang nyata, ia wujud kerana kebaikan yang hilang. Dan payah itu datang kerana kita sudah terbiasa dengan senang.

Kalau kita dilahirkan celik, dan Tuhan tarik penglihatan kita, itu payah. Tapi jika kita dilahirkan tanpa anugerah penglihatan, kegelapan itu menjadi senang. Tapi, adakah seseorang yang tidak pernah melihat seumur hidupnya, tiba-tiba dianugerahkan penglihatan, akan berasa senang?

Bulan puasa tahun itu, yang payah adalah berbuka tanpa air tebu dan murtabak. Payah tanpa Lina yang menemaniku ke pasar Remdhan, tempat orang ramai berpayah-payah membuang wang dan pahala kerana membazir. Payah kerana tidak dapat merasa masakan air tangan dan kasih ibuku, dan beraya bersama dengan Tok Rodhiah. Menziarah kubur ayah. Dan payah tanpa ibu, Lina, air tebu dan murtabak itu, adalah kepayahan yang dangkal. Namun itulah hakikatnya.

Aku berbuka dengan makanan Jepun yang lazat-lazat, walau hanya bersahur dengan telur rebus, yang aku minta dari dapur hotel dan aku humban ke dalam cerek elektrik di bilikku. Puasa di musim sejuk amat senang, kerana siangnya pendek. Bayaran untuk kerja senangku juga agak lumayan, walau hanya melalak dua, tiga buah lagu Jepun yang aku hafal.

Berdebar juga hati setiap malam pulang ke bilik, kerana khabarnya si penari tiang tidur di bilik bersebelah. Terngiang-ngiang di benak filem-filem 'biru' Jepun. Dustalah kalau aku kata tidak pernah terdetik di otak adegan-adegan mustahil; tiba-tiba si penari tiang sudah tergelempang bolen di atas katilku - kerana dalam filem-filem 'biru' Jepun, situasi mustahil selalu berlaku.

Si gadis pelayan di kelab makin rapat dengan aku. Dalam terang pon dia sungguh cantik. Kulitnya mulus dan tulus. Mungkin kerana budaya makan orang Mongolia yang gemarkan lemak haiwan, membuatkan kulitnya sentiasa merah gebu dan badannya berisi di tempat-tempat yang patut bagi seorang wanita dewasa. Patut yang meminta-minta ditampar dan dicubit. Namun, aku takkan pernah sanggup mencederakan kecantikan itu, apatah lagi mengebomnya dengan C4.

Pernah aku mengajaknya menemaniku di tepian pantai. Dia tolak. Peraturan di hotel mentadbirkan, tiada pekerja yang boleh dilihat bersama selain waktu kerja. Tegas dan agak kuno undang-undangnya. Tiada siapa yang berani bercerita tentang hukuman jika ingkar. Mungkin kerana tiada siapa yang berani ingkar, kalaupon ada mungkin yang ingkar itu tidak sempat bercerita. Mama Keiko yang bawa si gadis Mongolia itu ke Himi untuk bekerja, bukan untuk dikerja.

Aku bertahan hanya dua minggu di Kubota Inn. Bohongku pada Kubota-san kenapa aku ingin pergi lebih awal dari janji ialah atas urusan di universiti. Bagi mereka yang pernah mendengar cerita ini, aku lari bukan sebab tidak tahan dengan makanan atau serba-serbi.

Hanya Mama Keiko yang menghantarku ke stesyen tren. Aku makin taksub dengan wanita berumur ini. Taksub ini takkan berhenti di sini. Selendang Kashmir yang selalu dipakai di bahu runtuh dalam tiupan angin, menampakkan parut besar tercacah di bahu indah itu. Aku tidak terkejut, kerana ini bukanlah kali pertama. Berat hati hendak meninggalkannya. Berat juga jika tidak.

"Ne...ano yoru, isshou wasurenaiwa. Arigatou. Demo, mou konaide, onegai..."  (Malam itu, sampai mati saya tak akan lupa. Terima kasih. Tapi, tolong, jangan datang lagi...)

Monday, August 27, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Cikgu Rina

Kucing betina, oh si kucing betina
Kau tinggal bau tanda mau mengawan
Cikgu Rina, oh Cikgu Rina
Harum rambutmu buatku mau mengawan tertawan
BILA gadis-gadis yang baru aku dampingi bertanya, siapakah perempuan pertama yang aku jatuh cinta. Cinta pertama. Selalunya akan aku reka cerita, 'maaf, kalau boleh saya tak mau imbau kenangan pahit itu, saya tak mampu...'

Si perempuan selalunya ingin korek rahsia, atas sub-teks ingin memahami diri dan jiwa si lelaki, yang pada hakikatnya ingin 'mengukur' persaingan. Competition dengan gadis-gadis dalam sejarah peradaban dan kejantanan, si Buaya Darat?. Perempuan suka 'buaya darat' (bad boys), kerana ingin mengubahnya, atau ingin menjadi yang terbaik dalam hidup si buaya darat. Kerana buaya darat adalah epitome, lambang lelaki sejati, yang hidup tanpa hipokrisi - jujur bahawa si jantan dicipta untuk mengawan menawan setiap betina, err...yang melintas di depannya.

Hakikatnya, cinta pertamaku ialah pada dia, cikgu Bahasa Melayu waktu darjah lima. Namun namanya bukanlah Cikgu Rina. Aku lupa namanya. Tapi aku tak pernah lupa tahi lalat manis di bibir atas kirinya. Dan aku tak pernah lupa, tahi lalat manis di dadanya, errr...lebih kepada bawah lehernya. Kenapa dia? Cerita itu berhak dapat entri sendiri. Sebab yang ini adalah cerita Cikgu Rina.

Cikgu Rina yang sentiasa berbau harum. Remdhan kali itu, aku masih lagi 17 tahun. Cikgu Tini, Cikgu Salmah, dan Cikgu Rina. Guru-guru pelatih yang menyewa rumah Makcik Ani di belakang rumahku. Ada lima orang semuanya, tapi tiga dara pingitan ini sahaja yang aku ingat.

Ketiga-ketiga mereka selalu singgah ke rumah. Bermanja dengan ibuku, kononnya. Cikgu Tini, yang paling 'gedik', aku pasti syok dengan aku. Selalu juga bertepuk tampar. Umur mereka pon tak jauh beza. Mungkin 4, 5 tahun lebih tua. Sedang-sedang elok ranum. Tunggu gugur ke tanah saja, atau tunggu gugur kain batiknya cuma.

Pernah Cikgu Tini bergurau senda hingga cuba menanggal tualaku tatkala ingin ke bilik mandi. Nasib baiklah aku ini suci dalam debu. Kalaulah bukan kerana reputasiku dengan Cikgu Rina, yang sentiasa berbau harum, sudah aku jolok buah di pokoknya - biar botak rendang buahnya. Puasa, puasa.

Petang-petang sementara menanti waktu berbuka, aku dan Cikgu Rina akan berbasikal keliling kampung, konon-konon ingin memahami diri dan jiwa. Ibuku kurang berkenan, segan dengan jiran-jiran. Apatah lagi Cikgu Tini. Oh ya, Cikgu Salmah yang 'tembam-tembam berair' paling rapat dengan ibuku. Memasak bersama, main bersama, hey-hey-hey tiga sekawan. Fokus, fokus.

Tibalah harinya untuk aku mencium bau harum rambut Cikgu Rina lebih dekat. Dan mencuba nasib memegang tangannya. Aku baru 17 tahun, dapat pegang tangan pon, jadilah. Modus operandi, tengok wayang di Pawagam Arasu, yang selalunya menayang wayang Tamil. Kamal Haasan pon Kamal Haasan lah...

Lepas 'tak terawikh' (kata lawan pada lepas terawikh), kami berbasikal ke panggung-wayang-gambar. Aku tak ingat langsung cerita apa, cuma yang aku tahu, aku perlu memberanikan diri memegang tangan Cikgu Rina. Berpeluh. Gemuruh. Nyaris aku tidak berpelikat.

Tanganya lembut, tanganku berminyak, peluh jantan. Kaku. Tangan kami kaku. Aku tak tahu apa yang perlu aku laku. Kaku. Tiba-tiba aku terbau. Bukan bau kucing betina mau mengawan. Tapi bau yang, terlalu kurang menyenangkan. Memenuhi rongga hidungku. Rongga dadaku. Mual rasa perut. Hampir terkeluar semula mee Pangkor habuan berbuka tadi. Memang pedas mee Pangkor ibuku tadi, tapi kalau badan mahu bereaksi sekalipon, tentu dari perut ke bawah.

Pernahkah anda terbau stoking busuk yang direndam di dalam telur tembelang dan dilempangkan ke muka berliur basi anda? Saya juga tidak pernah. Tapi bau laknat itu mungkin kurang jika tidak lebih dari perumpamaan ini.

Tapi, di pawagam itu cuma kami berdua.

Mee Pangkor, oh mee Pangkor ibuku
Pedasmu sungguh meruntun mulut dan perut
Cikgu Rina, oh Cikgu Rina sayangku
Sedang jantanku bergelora, kenapalah kau kentut?

Thursday, August 16, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Si Badan Bercacah

"Yono naka dewa, mieru mono to mienai mono ga aru." (Dalam dunia ini, ada perkara/benda yang boleh dan tak boleh dilihat.)

"Sono toki, mimiwo sumaseba yoi..." (Kala itu, dengar-dengarlah (dengan hatimu)...)

Aku benci perumpamaan. Aku juga menyampah bila aku cuba tanya Lina pabila dia menarik muka 1 'empat belas', apa punca panjang muncungnya, apa yang buat dia tak keruan. Jawapannya, 'tak ada apa-apa', selalu.

Aku, dia, dan seluruh gerombolan lelaki di muka bumi ini tahu, 'tak ada apa-apa' sama dengan 'ada apa-apa'. Mereka cuba menyuruh kita membaca fikiran macam seorang nujum Pak Belalang. Susah benarkah hendak menjawab terus terang?

Begitu jugalah dengan Kubota-san. Itulah jawapannya bila aku bertanya status lelaki yang berkot merah, rambut ala-ala berus sabut, side-burn 70an, reminis lagak si Lupin The 3rd. Kenapa hormat sungguh mereka pada dia ini? Hormat sungguh-sungguh.

Mama Keiko. Dia yang akan uruskan aku. Dia juga yang uruskan kelab di Kubota Inn. Tempat penginap berkaraoke, mabuk, dan berkaraoke dan mabuk. Itulah anggaranku. Berdebar juga hati, katanya aku perlu jadi opening act, menghibur, sebelum acara utama. 30 minit sebelum jam 9 malam.

Dari pengetahuan, bukan pengalaman, (diulangi, dari pengetahuan), ada tiga jenis kelab 'hiburan lelaki' di Jepun. Pertama 'Kabakura', tempat lelaki dilayan pelayan wanita untuk berkaraoke dan mabuk, sambil berbual mesra. Tidak dibenar bersentuhan berat, yakni meraba. Kedua 'Oppai Pub', lebih kurang yang pertama, cuma yang ini boleh bersentuhan berat, bahagian atas torso pelayan wanita sahaja. Dan ketiga 'deri-heru', (daripada health-delivery), 'penghantaran kesihatan', pandai-pandailah anda mena'kul yang ini. Pengetahuan.

Mama Keiko meperkenalkan aku pada pelayan-pelayan kelab. Semua wanita. Tak nampak pula kelibat bouncer kelab. Agaknya, mabuk orang Jepun penuh santun dan sopan. Tiada kekerasan. Agaknya. Atau ada yang memantau dengan sebuah kekuasaan, yang mengawal keseimbangan.

Keiko Kurihara. Umurnya mungkin sudah menjangkau awal 50an. Renungan tajam namun penuh mesra tatkala matanya tersenyum padaku, menyembunyikan seribu satu kisah. Wajah jelitanya yang sedang dimamah usia, masih kekal anggun disebalik kedutan halus di tepi matanya. Lembut lenggoknya, bagai dicongak sempua kesempurnaannya, sama lembut dengan tutur bahasa. Terutama waktu berdepan dengan tok nujum, Kubota-san.

Dia layak menjadi isteri seorang Shogun (jeneral tentera), tidak, lebih layak sebagai isteri seorang Yakuza. Walau bilah katana (pedang) menari di lehernya, takkan sebutir rahsia si suami akan terlepas. Biar dia mati. Tiada maruah yang akan terhempas.

"Ah, kalaulah saya lahir 30 tahun awal, akan saya pastikan hati Keiko-san saya miliki," gurauku pura-pura berani. Lancang mulut ini yang bergerak dalam 'auto pilot' bila berdepan wanita cantik.

Mujurlah Mama Keiko ketawa. Dan ketawanya, lembut dan manja. Dia juga wanita, perlu dipuja.

Tetamu utama tiba. Si Lupin The 3rd tiba. Diiringi seorang lelaki Jepun bagak, besar macam kotak TV 100 inci buatan Korea. Dan Kubota-san. Pelik sungguh si 'jambul berus sabut' ini, auranya pelik. Entahlah. Mungkin aku yang tak mengerti. Mama Keiko berlari ke arah si 'side-burn 70an', mempersilakan dia ke tempat duduk. Kemudian berlari ke arah Kubota-san, berbisik, dan mengangguk.

Seorang pelayan pula berbisik padaku. Katanya, Mama Keiko pesan, aku tidak perlu lakukan apa-apa di malam pertama. (Cis!) Disuruhnya aku mengambil mana-mana minuman dan duduk di bahagian paling belakang, menonton persembahan. Adalah tak sampai sepuluh orang tetamu lain. Semua minuman adalah gratis (percuma). Terkejut dia bila aku bilang, aku tidak minum minuman keras. Aku capai segelas Coke dan mendapatkan kerusi 'grand-stand', untuk menyaksikan persembahan, dan menyaksikan gelagat si 'lelaki pelik' berkot merah berseluar yankee. (Petikan dari 'Tiga Abdul')

Si pelayan sempat menjeling padaku. Dia senyum. Walau dalam kelam cahaya, aku tahu dia sungguh cantik. Aku 'lihat' sungguh-sungguh dengan telinga hatiku. Aku jumpa 'shukudai' (homework) baru. Aku senyum. Dia tersipu. Dan aku terkedu.

Bukan kerana dia, tetapi terkedu dengan apa yang bakal aku lihat. Di atas pentas, berteman hanya tiang sebatang, muncul seorang wanita berpakaian menjolok mata dan imanku yang nipis ini. Lagu 'Pink Lady' berkumandang. Tarian tiang semakin rancak. Semakin ghairah. Pakaian dia sudah tidak dapat menjolok mata, dan imanku yang nipis ini, kerana dia sudah tidak berpakaian lagi. Lucut satu demi satu. Lelaki-lelaki bersorak, kecuali dia...

つづく (bersambung lagi...)

1 Aku sendiri tidak tahu apa maksudnya, kerana aku juga, ingin berperumpamaan

Sunday, August 12, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Tari Tiang

"Encik, boleh tolong letak gitar encik ini di atas?" Pramugari MAS yang petite, ('lentik-molek' dalam Bahasa Melayu, agaknya) cuba untuk mempersoal keputusan aku. Aku berkeras untuk meletakkan gitar 'mahal' (al-maklum, kali pertama mampu beli gitar akustik sendiri yang bukan dari jenama Kapok), di depan tempat dudukku, bukan di kabin atas kepala.

"Awak tau berapa harga gitar ni (mahal sikit dari Kapok)? Kalau apa-apa berlaku di atas tu, awak nak tanggung?" Ayat mulut dan pandangan mata kena firm, biar dia tahu siapa 'Sivaji The Boss'.

"Suka hati enciklah..." Si lentik-molek mengalah.

'Ada juga yang bakal kena tampar bahagian belakang-bawah-pinggang-atas-peha ni nanti,' bisik hati besarku.

Pakcik Jepun yang duduk di sebelahku hanya tersenyum kambing. Kakinya dilunjur. Kami duduk paling depan kelas ekonomi. Stokingnya berlubang. Tapi senyumnya kemas.

"Kimi wa myujishan (musician) ka?" sapanya. (Terjemahan: kamu ni ahli muzik kah?)

Perjalanan tujuh jam pulang ke Jepun aku penuhi dengan mendengar cerita Kubota-san. Beliau adalah tipikal Jepun, yang survive Perang Dunia ke-2; ditampar kepayahan, dan keluar darinya dengan jaya. Dia tak perlu sebut dia berjaya, aku cuma perlu kutip dari vokabulari yang dipilih rapi, disusun dengan bait-bait bernas himpunan pengalaman dan pengetahuan luas. Cuma ada sikit kasar dalam lenggok bahasanya, bukan orangnya, tapi lenggok bahasanya.

Sekali-sekala Si lentik menjeling ke arahku. Minta dicubit agaknya. Tapi aku sudah berpunya. Kalau aku belum komit dengan diri sendiri, dan Lina, gadisku yang jauh lebih lentik dan molek di Universiti Malaya; sudah pasti aku akan layan manjanya. Fokus, fokus.

Waktu berpisah, Kubota-san menghulur kad bisnesnya. Budaya orang Jepun, sentiasa kekalkan koneksi (connection, pelik juga Bahasa Inggeris yang di-Melayukan).

'Kubota Inn - Hotel and Onsen (natural hot-spring)'

Tetsuo Kubota - Owner

"Asobini oideyo. Uchino kurabu de, myujishan no arubaito demo..." (Terjemahan: datanglah bermain ke hotel saya, buat part-time main muzik di kelab.)

Cuti musim sejuk tahun 1999, aku mengembara ke Himi-coast, Toyama, menggendong gitar mahalku naik keretapi ekspress menuju Kubota Inn. Bulan Remdhan. Bulan Puasa pertamaku di Jepun.

Agak panjang perjalanan. Tidak ketemu pula mana-mana gadis lentik molek Jepun. Kerana gadis Jepun tidaklah terkenal dengan bahagian belakang-bawah-pinggang-atas-peha mereka, yang molek tapi tak cukup lentik.

Dari bandar Toyama, aku perlu ambil sebuah tren kecil ke perkampungan nelayan, Himi-coast. Sejam hanya sebatang tren. Dan aku yakin 80% dari penumpangnya saling kenal mengenali.

Pulau Jepun, walau disumpah dengan bencana alam, gempa bumi, tsunami dan gunung berapi; namun dirahmati begitu indah, apatah bila diamati dari kedekatan. Udara yang nyaman, menghuni ruang rongga dadaku yang berbulu 'segan silu' ini. Nyaman yang nyata datangnya dari bersih dan suci tanah serta pokok-pokok. Serta budi pekerti penghuni bumiNya, menambah seri ciptaan yang haqiqi.

Sampai saja aku di perhentian terakhir, walau itulah saja perhentiannya, sebuah limo sudah tersedia menunggu. Dengan namaku besar-besar terpampang atas sekeping 'kad manila' (siapa-siapa tolong panjangkan padaku sejarah nama kertas ini).

Aku disambut bagai OPS (Orang Penting Sangat; VIP). Terus dibawa berjumpa Kubota-san di pejabatnya. Kecil dan sederhana. Tak serupa bilik seorang pemilik sebuah hotel besar, dalam gambaran cetekku.

Hotelnya gah, dengan ramai pengunjung OPSS (Orang Penting Sangat-sangat; VVIP), kelas atasan 'movers and shakers', dan juga, Yakuza. Orang Jepun gemarkan 'onsen' (kolam air panas), terutama pada musim sejuk. Perihalnya, Yakuza yang memang zahir bercacah tatu penuh di belakang badan, sebagai tanda kesetian, diharamkan dari onsen awam. Kerana dikhuatiri menakutkan pengunjung lain.

Jadi, Kubota Inn adalah antara yang julung, menghalalkan kunjungan Yakuza. Membuatkan aku terpaksa menimbal semula koneksi aku dengan Kubota-san. Dengan kata lain, Kubota-san bukan calang-calang orang. Bukan, calang-calang orang...

つづく (bersambung)