Sunday, June 24, 2012

Simpati VS Empati

JUST run! Run uphill! (Lari, lari ke tempat tinggi)


1. Tsunami.

2. Ombak besar? Malapetaka? Balasan dosa? Wayang gambar? Pengajaran? Ketawa? Apa?

3. Aku dah tengok dari jarak dekat. Bukan mengalami, cuma tengok. Kesan Tsunami. Kesan pada bumi Jepun, mental, fizikal dan emosi rakyatnya. Dan aku dapat renung, dalam-dalam diri sendiri.

4. Dahsyat. Aku tahu ia dahsyat. Tapi aku cuma dapat tengok, tak dapat rasa, apa yang mereka rasa. Dan terus terang, aku doa aku tak perlu rasa, biarlah sekadar tengok. Maha dahsyat.

5. Kesan runtuhan dan ranapan dari dinding-dinding bangunan, kenderaan, dan mungkin juga rangka manusia (beribu lagi masih tidak diketemui) jika dikumpul boleh dibina 40 buah Tokyo Dome (100 buah Stadium Merdeka). Banyak.

6. Dalam bas ke tempat kejadian, aku tonton untuk kali yang banyak, video sewaktu Tsunami berlaku. Aku terperasan suara seorang tua, menjerit ketakutan dan kebuntuan. Tapi dalam jeritannya hanya kosong, tidak diselit dengan nama Tuhan, kerana mereka tiada Tuhan. Alangkah ruginya, dan terbeban bila dalam malapetaka atau kesusahan, tiada kuasa lebih 'besar' untuk mengadu dan berdoa. Dan ramai survivor dari Tsunami mengambil nyawa sendiri kerana hilang pedoman dan arah.

7. Jepun adalah bangsa yang kuat. Bangsa yang maju. Dan bangsa yang 'berdiri di atas kaki sendiri'. Jadi mereka tidak suka 'pijak' kaki orang lain. Meminta tolong. Dan bila sudah mampu hidup sendiri, dan tidak biasa meminta tolong, mereka sesama sendiri juga tidak tolong-menolong. Bukan tidak mahu, tetapi tidak biasa.

8. Jepun tak perlu dibantu. Bantuan yang Malaysia cuba beri waktu tragedi, dibawah MERCY, ditolak mentah-mentah. Alasan mereka, khuatir dengan kualiti dan keselamatan barangan bantuan. Kalau bangsa kita, belum susah lagi pon sudah kita meminta-minta, jauh sekali menolak kerana curiga. Tapi mungkin ada benar konklusi mereka; tidak ingin menambah beban pada rakyatnya. Tapi, bodohkah kita yang ingin membantu, dengan menambah bala? Mereka tidak biasa.

9. Jadi, kenapa mereka panggil kami ke sana? Ditaja dengan penginapan dan makanan yang selesa, jauh sekali dalam istilah sukarela. Kalau aku kata mereka buat begitu demi menunjuk pada dunia yang mereka sebenar tidak apa-apa, demi menarik semula pelancong hadir, demi menambah semula isi kocek mereka - adakah aku, atau mereka yang tidak bertimbangrasa? Matlamat menghalalkan cara.

10. Aku sayang Jepun. Bukan sahaja wanita-wanitanya yang pernah mewarnai hidup monokromku ini. Jepun beri aku banyak benda. Banyak pengalaman. Banyak pelajaran. Aku atau engkau belum tentu dapat seberang antara simpati ke empati. Dari sekadar kasihan ke benar-benar mengerti. Kesan Tsunami. Dan pada orang luar, yang memerhati, meraka tak akan buka apa yang terpekong. Tapi jika kita masuk dari dalam, dari jiwa dan keakraban, kita akan faham. Kita akan mengerti. Walau tak rasa sakit peha kanan bila peha kiri dicubit, kita akan pura-pura menangis. Bukan niat menipu, tapi ingin berkongsi. Kita tak akan faham selagi tak merasa, dan tak perlu faham. Sakit. Perit. Terpulang pada kita untuk berdiri di mana, di atas garisan 'Simpati VS Empati'.

So run! Run uphill... (Jadi, larilah ke tempat tinggi)