Monday, September 17, 2012

耳をすませば (mimi wo sumaseba) - dengar-dengarlah...


PEREMPUAN, mereka dianugerahkan dengan pelbagai cara untuk meluahkan perasaan. Bercakap (walaupon dengan bahasa yang jarang-jarang difahami), membebel, meroyan, menitiskan air mata, menangis teresak-esak, menangis di tahap 'raksasa gaban' (rupa yang amat hodoh dengan hilaian lagi memekakkan); sejak dari mula memakai tuala wanita, sehinggalah mereka mula belajar 'diam' tatkala disingkap menopaus. Mereka sungguh 'bertuah'.

Lelaki, kita cuma dianugerahkan Tuhan dengan muzik untuk meluahkan perasaan, dan 'bersembunyi' dari bunyi-bunyian yang tidak menyenangkan lagi membingitkan.

Dari lagu Jay Jay 'Kita Insan Biasa', yang memberitahu beliau tidak kisah Dayangku Intan masih dara atau tidak. Kepada lagu Awie meminta maaf membelasah gadisnya di 'Tragedi Oktober' (sebelum beliau diangkat menjadi ayahanda kumpulan Naga Sakti). Dan lagu Justin Bieber menasihati remaja bagaimana hendak membuat anak dalam 'Baby, baby, baby, ooh...' dan sebagainya.

Lelaki berkomunikasi dengan muzik. Jadi, dengar-dengarlah, wahai wanita.
(Kentut juga sejenis muzik, yang lahir dari bawah hati seorang lelaki. Bila dia sudah selesa melepaskan bunyi-bunyian itu, maknanya dia sudah mula mempercayai wanita itu. Jadi, hargailah dan abadikanlah detik indah itu, wahai wanita.)

Sesungguhnya, bukan niat kami untuk melukai, cuma ada kalanya, kami tidak mengERTI...

Monday, September 10, 2012

ERTI

MAAF, rasa nak 'berkarat' pula hari ini. 'Datang mentari' (kata lawan bagi 'datang bulan') gamaknya.

Lagu 'ERTI' aku tulis berdasarkan pengalaman sebenar. Dulu, waktu zaman 'jahiliyah', aku punya ramai gadis. Genre pilihan aku amat mudah dan cetek. Aku tidak memilih. Cukuplah sekadar cantik. Sekali dan sekala, yang badan ranum nan berlekuk sana sini, pon jadilah. Model, orang TV, orang radio, tukang layan dalam kapal terbang, tukang sapu sampah rumah pangsaku dan ustazah pilihan - setia dan sedia mendampingiku.

Tapi akhir sekali, Yang Maha Mengetahui tinggalkan aku dengan pilihan yang paling sukar. Dua orang survivor. Yang perlukan aku membuat pilihan.

Lagu ini untuk siapa?

Cerita lanjut akan aku dedahkan dalam Novel sulungku yang berkonsep 'How-to', bertajuk:
'Buaya Darat? - Manual Playboy Melayu'

Jika waktu membenarkanku
Biar masa ku putar semula
Kisah antara kau dan aku
Apa sampai di sini begini

Yang ku mahu hanya dia tahu
Aku yang sesal di atas dosa
Cinta antara kau dan aku
Patut ku usung hingga ke syurga

Waktu bersamamu, aku tak pernah peduli
Biarkan hatimu layu, kering dan mati
Akan ku kutip luruh lerai cintaku
Agar kau kembali

Aku tak pernah menyangka kau akan pergi
Tinggalkan semua yang kau beri, dari hatimu
Aku selalu menyangka, kau 'kan menjadi saksi
Apa erti cintaku...

Sunday, September 2, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Playboy Melayu

PAYAH. 'Otoko wa tsuraiyo', lelaki itu payah. Menjadi seorang lelaki itu payah, amat. Menjadi seorang ketua, imam, pahlawan, boss, pejuang dan pencinta. Terutama sekali untuk menjadi seorang lelaki kepada seorang perempuan, dan dalam kes aku, perempuan-perempuan.

Remdhan tahun itu juga amat payah. Puasa kali pertama di perantauan. Jauh dari ibu. Jauh dari Lina. Jauh dari air tebu, dan murtabak yang kurang lebih nasibnya selalu berakhir dalam tong sampah.

Apakah sebab utama Remdhan tahun itu amat payah? Adakah kerana puasa pertamaku di negara matahari terbit ini, terpaksa aku jalani di sebuah hotel yang mungkin dimiliki oleh seorang mafia? Kerana terpaksa menahan nafsu, waktu bekerja sambilan bermain muzik di kelab yang juga menyajikan pertunjukan tari tiang telanjang? Atau kerana tetamu-tetamunya yang kalau silap aku gauli, mungkin boleh mengakhiri nasibku dalam tong sampah? Tidak.

Datang gelap kerana tiada terang. Datang sunyi kerana tiada bunyi. Kejahatan bukanlah satu bentuk yang nyata, ia wujud kerana kebaikan yang hilang. Dan payah itu datang kerana kita sudah terbiasa dengan senang.

Kalau kita dilahirkan celik, dan Tuhan tarik penglihatan kita, itu payah. Tapi jika kita dilahirkan tanpa anugerah penglihatan, kegelapan itu menjadi senang. Tapi, adakah seseorang yang tidak pernah melihat seumur hidupnya, tiba-tiba dianugerahkan penglihatan, akan berasa senang?

Bulan puasa tahun itu, yang payah adalah berbuka tanpa air tebu dan murtabak. Payah tanpa Lina yang menemaniku ke pasar Remdhan, tempat orang ramai berpayah-payah membuang wang dan pahala kerana membazir. Payah kerana tidak dapat merasa masakan air tangan dan kasih ibuku, dan beraya bersama dengan Tok Rodhiah. Menziarah kubur ayah. Dan payah tanpa ibu, Lina, air tebu dan murtabak itu, adalah kepayahan yang dangkal. Namun itulah hakikatnya.

Aku berbuka dengan makanan Jepun yang lazat-lazat, walau hanya bersahur dengan telur rebus, yang aku minta dari dapur hotel dan aku humban ke dalam cerek elektrik di bilikku. Puasa di musim sejuk amat senang, kerana siangnya pendek. Bayaran untuk kerja senangku juga agak lumayan, walau hanya melalak dua, tiga buah lagu Jepun yang aku hafal.

Berdebar juga hati setiap malam pulang ke bilik, kerana khabarnya si penari tiang tidur di bilik bersebelah. Terngiang-ngiang di benak filem-filem 'biru' Jepun. Dustalah kalau aku kata tidak pernah terdetik di otak adegan-adegan mustahil; tiba-tiba si penari tiang sudah tergelempang bolen di atas katilku - kerana dalam filem-filem 'biru' Jepun, situasi mustahil selalu berlaku.

Si gadis pelayan di kelab makin rapat dengan aku. Dalam terang pon dia sungguh cantik. Kulitnya mulus dan tulus. Mungkin kerana budaya makan orang Mongolia yang gemarkan lemak haiwan, membuatkan kulitnya sentiasa merah gebu dan badannya berisi di tempat-tempat yang patut bagi seorang wanita dewasa. Patut yang meminta-minta ditampar dan dicubit. Namun, aku takkan pernah sanggup mencederakan kecantikan itu, apatah lagi mengebomnya dengan C4.

Pernah aku mengajaknya menemaniku di tepian pantai. Dia tolak. Peraturan di hotel mentadbirkan, tiada pekerja yang boleh dilihat bersama selain waktu kerja. Tegas dan agak kuno undang-undangnya. Tiada siapa yang berani bercerita tentang hukuman jika ingkar. Mungkin kerana tiada siapa yang berani ingkar, kalaupon ada mungkin yang ingkar itu tidak sempat bercerita. Mama Keiko yang bawa si gadis Mongolia itu ke Himi untuk bekerja, bukan untuk dikerja.

Aku bertahan hanya dua minggu di Kubota Inn. Bohongku pada Kubota-san kenapa aku ingin pergi lebih awal dari janji ialah atas urusan di universiti. Bagi mereka yang pernah mendengar cerita ini, aku lari bukan sebab tidak tahan dengan makanan atau serba-serbi.

Hanya Mama Keiko yang menghantarku ke stesyen tren. Aku makin taksub dengan wanita berumur ini. Taksub ini takkan berhenti di sini. Selendang Kashmir yang selalu dipakai di bahu runtuh dalam tiupan angin, menampakkan parut besar tercacah di bahu indah itu. Aku tidak terkejut, kerana ini bukanlah kali pertama. Berat hati hendak meninggalkannya. Berat juga jika tidak.

"Ne...ano yoru, isshou wasurenaiwa. Arigatou. Demo, mou konaide, onegai..."  (Malam itu, sampai mati saya tak akan lupa. Terima kasih. Tapi, tolong, jangan datang lagi...)