Remdhan tahun itu juga amat payah. Puasa kali pertama di perantauan. Jauh dari ibu. Jauh dari Lina. Jauh dari air tebu, dan murtabak yang kurang lebih nasibnya selalu berakhir dalam tong sampah.
Apakah sebab utama Remdhan tahun itu amat payah? Adakah kerana puasa pertamaku di negara matahari terbit ini, terpaksa aku jalani di sebuah hotel yang mungkin dimiliki oleh seorang mafia? Kerana terpaksa menahan nafsu, waktu bekerja sambilan bermain muzik di kelab yang juga menyajikan pertunjukan tari tiang telanjang? Atau kerana tetamu-tetamunya yang kalau silap aku gauli, mungkin boleh mengakhiri nasibku dalam tong sampah? Tidak.
Datang gelap kerana tiada terang. Datang sunyi kerana tiada bunyi. Kejahatan bukanlah satu bentuk yang nyata, ia wujud kerana kebaikan yang hilang. Dan payah itu datang kerana kita sudah terbiasa dengan senang.
Kalau kita dilahirkan celik, dan Tuhan tarik penglihatan kita, itu payah. Tapi jika kita dilahirkan tanpa anugerah penglihatan, kegelapan itu menjadi senang. Tapi, adakah seseorang yang tidak pernah melihat seumur hidupnya, tiba-tiba dianugerahkan penglihatan, akan berasa senang?
Bulan puasa tahun itu, yang payah adalah berbuka tanpa air tebu dan murtabak. Payah tanpa Lina yang menemaniku ke pasar Remdhan, tempat orang ramai berpayah-payah membuang wang dan pahala kerana membazir. Payah kerana tidak dapat merasa masakan air tangan dan kasih ibuku, dan beraya bersama dengan Tok Rodhiah. Menziarah kubur ayah. Dan payah tanpa ibu, Lina, air tebu dan murtabak itu, adalah kepayahan yang dangkal. Namun itulah hakikatnya.
Aku berbuka dengan makanan Jepun yang lazat-lazat, walau hanya bersahur dengan telur rebus, yang aku minta dari dapur hotel dan aku humban ke dalam cerek elektrik di bilikku. Puasa di musim sejuk amat senang, kerana siangnya pendek. Bayaran untuk kerja senangku juga agak lumayan, walau hanya melalak dua, tiga buah lagu Jepun yang aku hafal.
Berdebar juga hati setiap malam pulang ke bilik, kerana khabarnya si penari tiang tidur di bilik bersebelah. Terngiang-ngiang di benak filem-filem 'biru' Jepun. Dustalah kalau aku kata tidak pernah terdetik di otak adegan-adegan mustahil; tiba-tiba si penari tiang sudah tergelempang bolen di atas katilku - kerana dalam filem-filem 'biru' Jepun, situasi mustahil selalu berlaku.
Si gadis pelayan di kelab makin rapat dengan aku. Dalam terang pon dia sungguh cantik. Kulitnya mulus dan tulus. Mungkin kerana budaya makan orang Mongolia yang gemarkan lemak haiwan, membuatkan kulitnya sentiasa merah gebu dan badannya berisi di tempat-tempat yang patut bagi seorang wanita dewasa. Patut yang meminta-minta ditampar dan dicubit. Namun, aku takkan pernah sanggup mencederakan kecantikan itu, apatah lagi mengebomnya dengan C4.
Pernah aku mengajaknya menemaniku di tepian pantai. Dia tolak. Peraturan di hotel mentadbirkan, tiada pekerja yang boleh dilihat bersama selain waktu kerja. Tegas dan agak kuno undang-undangnya. Tiada siapa yang berani bercerita tentang hukuman jika ingkar. Mungkin kerana tiada siapa yang berani ingkar, kalaupon ada mungkin yang ingkar itu tidak sempat bercerita. Mama Keiko yang bawa si gadis Mongolia itu ke Himi untuk bekerja, bukan untuk dikerja.
Aku bertahan hanya dua minggu di Kubota Inn. Bohongku pada Kubota-san kenapa aku ingin pergi lebih awal dari janji ialah atas urusan di universiti. Bagi mereka yang pernah mendengar cerita ini, aku lari bukan sebab tidak tahan dengan makanan atau serba-serbi.
Hanya Mama Keiko yang menghantarku ke stesyen tren. Aku makin taksub dengan wanita berumur ini. Taksub ini takkan berhenti di sini. Selendang Kashmir yang selalu dipakai di bahu runtuh dalam tiupan angin, menampakkan parut besar tercacah di bahu indah itu. Aku tidak terkejut, kerana ini bukanlah kali pertama. Berat hati hendak meninggalkannya. Berat juga jika tidak.
"Ne...ano yoru, isshou wasurenaiwa. Arigatou. Demo, mou konaide, onegai..." (Malam itu, sampai mati saya tak akan lupa. Terima kasih. Tapi, tolong, jangan datang lagi...)
No comments:
Post a Comment