Thursday, August 16, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Si Badan Bercacah

"Yono naka dewa, mieru mono to mienai mono ga aru." (Dalam dunia ini, ada perkara/benda yang boleh dan tak boleh dilihat.)

"Sono toki, mimiwo sumaseba yoi..." (Kala itu, dengar-dengarlah (dengan hatimu)...)

Aku benci perumpamaan. Aku juga menyampah bila aku cuba tanya Lina pabila dia menarik muka 1 'empat belas', apa punca panjang muncungnya, apa yang buat dia tak keruan. Jawapannya, 'tak ada apa-apa', selalu.

Aku, dia, dan seluruh gerombolan lelaki di muka bumi ini tahu, 'tak ada apa-apa' sama dengan 'ada apa-apa'. Mereka cuba menyuruh kita membaca fikiran macam seorang nujum Pak Belalang. Susah benarkah hendak menjawab terus terang?

Begitu jugalah dengan Kubota-san. Itulah jawapannya bila aku bertanya status lelaki yang berkot merah, rambut ala-ala berus sabut, side-burn 70an, reminis lagak si Lupin The 3rd. Kenapa hormat sungguh mereka pada dia ini? Hormat sungguh-sungguh.

Mama Keiko. Dia yang akan uruskan aku. Dia juga yang uruskan kelab di Kubota Inn. Tempat penginap berkaraoke, mabuk, dan berkaraoke dan mabuk. Itulah anggaranku. Berdebar juga hati, katanya aku perlu jadi opening act, menghibur, sebelum acara utama. 30 minit sebelum jam 9 malam.

Dari pengetahuan, bukan pengalaman, (diulangi, dari pengetahuan), ada tiga jenis kelab 'hiburan lelaki' di Jepun. Pertama 'Kabakura', tempat lelaki dilayan pelayan wanita untuk berkaraoke dan mabuk, sambil berbual mesra. Tidak dibenar bersentuhan berat, yakni meraba. Kedua 'Oppai Pub', lebih kurang yang pertama, cuma yang ini boleh bersentuhan berat, bahagian atas torso pelayan wanita sahaja. Dan ketiga 'deri-heru', (daripada health-delivery), 'penghantaran kesihatan', pandai-pandailah anda mena'kul yang ini. Pengetahuan.

Mama Keiko meperkenalkan aku pada pelayan-pelayan kelab. Semua wanita. Tak nampak pula kelibat bouncer kelab. Agaknya, mabuk orang Jepun penuh santun dan sopan. Tiada kekerasan. Agaknya. Atau ada yang memantau dengan sebuah kekuasaan, yang mengawal keseimbangan.

Keiko Kurihara. Umurnya mungkin sudah menjangkau awal 50an. Renungan tajam namun penuh mesra tatkala matanya tersenyum padaku, menyembunyikan seribu satu kisah. Wajah jelitanya yang sedang dimamah usia, masih kekal anggun disebalik kedutan halus di tepi matanya. Lembut lenggoknya, bagai dicongak sempua kesempurnaannya, sama lembut dengan tutur bahasa. Terutama waktu berdepan dengan tok nujum, Kubota-san.

Dia layak menjadi isteri seorang Shogun (jeneral tentera), tidak, lebih layak sebagai isteri seorang Yakuza. Walau bilah katana (pedang) menari di lehernya, takkan sebutir rahsia si suami akan terlepas. Biar dia mati. Tiada maruah yang akan terhempas.

"Ah, kalaulah saya lahir 30 tahun awal, akan saya pastikan hati Keiko-san saya miliki," gurauku pura-pura berani. Lancang mulut ini yang bergerak dalam 'auto pilot' bila berdepan wanita cantik.

Mujurlah Mama Keiko ketawa. Dan ketawanya, lembut dan manja. Dia juga wanita, perlu dipuja.

Tetamu utama tiba. Si Lupin The 3rd tiba. Diiringi seorang lelaki Jepun bagak, besar macam kotak TV 100 inci buatan Korea. Dan Kubota-san. Pelik sungguh si 'jambul berus sabut' ini, auranya pelik. Entahlah. Mungkin aku yang tak mengerti. Mama Keiko berlari ke arah si 'side-burn 70an', mempersilakan dia ke tempat duduk. Kemudian berlari ke arah Kubota-san, berbisik, dan mengangguk.

Seorang pelayan pula berbisik padaku. Katanya, Mama Keiko pesan, aku tidak perlu lakukan apa-apa di malam pertama. (Cis!) Disuruhnya aku mengambil mana-mana minuman dan duduk di bahagian paling belakang, menonton persembahan. Adalah tak sampai sepuluh orang tetamu lain. Semua minuman adalah gratis (percuma). Terkejut dia bila aku bilang, aku tidak minum minuman keras. Aku capai segelas Coke dan mendapatkan kerusi 'grand-stand', untuk menyaksikan persembahan, dan menyaksikan gelagat si 'lelaki pelik' berkot merah berseluar yankee. (Petikan dari 'Tiga Abdul')

Si pelayan sempat menjeling padaku. Dia senyum. Walau dalam kelam cahaya, aku tahu dia sungguh cantik. Aku 'lihat' sungguh-sungguh dengan telinga hatiku. Aku jumpa 'shukudai' (homework) baru. Aku senyum. Dia tersipu. Dan aku terkedu.

Bukan kerana dia, tetapi terkedu dengan apa yang bakal aku lihat. Di atas pentas, berteman hanya tiang sebatang, muncul seorang wanita berpakaian menjolok mata dan imanku yang nipis ini. Lagu 'Pink Lady' berkumandang. Tarian tiang semakin rancak. Semakin ghairah. Pakaian dia sudah tidak dapat menjolok mata, dan imanku yang nipis ini, kerana dia sudah tidak berpakaian lagi. Lucut satu demi satu. Lelaki-lelaki bersorak, kecuali dia...

つづく (bersambung lagi...)

1 Aku sendiri tidak tahu apa maksudnya, kerana aku juga, ingin berperumpamaan

No comments:

Post a Comment