UNDANG-UNDANG di ‘rimba besi’ antara dua orang lelaki yang bersahabat melibatkan seorang perempuan adalah mudah.
1. Tidak boleh menjalinkan hubungan dengan teman wanita atau bekas teman wanita, adik perempuan/kakak/ibu/nenek dan yang sewaktu dengannya.
2. Dan tidak boleh memotong ‘trip’ atau ‘mencantas’ atau berebut seorang perempuan yang sama, samada secara terang atau berselindung.
Sebagai Jantan Kota sejati, aku dan Ishaq akur dan patuh dengan undang-undang itu.
Di dalam rimba belantara, dua ekor singa jantan akan berbunuhan untuk mendapat hak mengawan dengan sekawanan singa betina. Tamak. Tapi nama pon binatang. Tidaklah mereka ke sekolah dan berkawan dengan Ah Meng, dan juga berkawan namanya Muthu. Tidaklah juga berkawan baik sama sedarjah, belajar bersama, dan main bersama.
Tapi sepanjang hayat persahabatan kami, aku dan Ishaq pernah dua kali berebut perempuan. Dan ianya bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Hodoh dan memalukan.
Bodoh. Bodoh untuk lelaki yang berebut. Dan bodoh juga untuk lelaki yang tidak berbuat begitu untuk memiliki Ayu. Ba-wau-dhal-wau-ha!
Undang-undang bodoh yang dicipta malam gila itu agaknya hasil daripada otak yang penat, dan kadar gula serta karbon yang tinggi dalam Teh 'C' serta arang Satay Perut kami.
Untuk mendapatkan hak memiliki Ayu, atau dengan ayat yang lebih tepat, iaitu hak meng’urat’ Ayu dan berebut dengan 1001 lelaki lain di luar sana.
Undang-undangnya cuma satu – aku dan Ishaq perlu berpacaran dengan gadis-gadis dengan nama yang bermula dengan huruf-huruf ‘A-Y-U-M-I’. Sesiapa antara kami yang berjaya melengkapkan ‘AYUMI’ terlebih dahulu akan dikurniakan hak itu. Pandai.
Sebaik sahaja undang-undang gila itu termaktub, aku bingkas bangun ke meja sebelah yang dihuni tiga orang perempuan awal 20-an. Cantik dan miang.
"Hey there! Lemme guess, you must be the Smart one, you are the Good one. And from the way you grin I betcha my pinky, that you are the Naughty one." (Hei di sana! Biar saya teka, awak adalah Si Pandai, awak pula Si Baik, dan dari gaya awak 'sengeh', saya bertaruh jari kelingking yang awak adalah Si Nakal.)
Gadis-gadis bertiga 'mengekek' ketawa.
Keyakinan tahap bomoh kaki raba yang mengaku boleh membuang sial dan hantu, dan ayat 'power' lagak politikus penipu, dapat membantu memikat.
Si Nakal menghulur tangan, "I like your style. My name is Deanna, you can call me Anna." (Saya suka gaya awak. Nama saya Deanna, panggil saya Anna.)
Aku menyambut tangannya yang mulus dengan hatiku yang tulus. Aku menjeling pada Ishaq. Dia mengangguk memberi persetujuan. Akalku 'mengekek' ketawa.
Huruf pertamaku. 'A' untuk Anna...
No comments:
Post a Comment