Monday, June 21, 2010

JANTAN KOTA: Episod 3 'Pedati Emas'

HIDE PARK. Letaknya di bucu kiri pintu belakang Plaza Damas, Sri Hartamas. Dan di tengah-tengah hati serakah dan jadual sendat lelaki dan perempuan korporat dan keparat yang menggunakan tempat ini lebih dari sebuah singgahan makan dan minum.

Aku dan Ishaq sering menikmati Satay Perut dan Teh ‘C’ terbaik di KL di sini. Tiada rutin, cuma gerak hati dan intuisi keroncong perut yang menyeret kami tak mengira hari.

Tempat ini dibina oleh seorang individu disegani, waris kepada seorang ‘movers and shakers’ Malaysia sezaman Tun Razak. Jadi tak hairanlah, kalau kelibat Si Tua Ganyut ‘berpedati emas’ berpimpinan tangan dengan gadis-gadis cantik mengunjungi. Gadis-gadis yang baru mengenal kain lampin sewaktu isteri atau janda Si Tua Ganyut sedang sebok mengajar anak perempuan sendiri beza tuala wanita dengan tayar basikal. Muda amat.

Gelengan kepala disertai rasa mual di tekak melihat kelaku mereka-mereka ini. Tatkala si gadis dipangku diriba Si Tua Ganyut, diusap dibelai jari-jemari pendek lagi gemok, dan dicumbu dikucup mulut busuk curut Cuba itu.

Usaha tangga kejayaan, gamaknya.

“Kau rasa Dato’ Kadir tu mampu ‘berdiri’ lagi tak?”

“Sahaq, kau tak Nampak dia pop dua biji pil dekat bar tadi? Viagra lah tu. Tak pon dia sondol pakai kepala botak tu kot.” Derai tawa.

Aku dan Ishaq juga punya koleksi cerita dan pengalaman dengan gadis-gadis cantik kami di sini. Sekali dan sekala, gadis-gadis cantik Si Tua Ganyut juga curi-curi pandang ke arah kami sambil menjerit dalam hati ‘tolong selamatkan kami’. Kami lelaki budiman, sekali dan sekala kami bantu ‘selamatkan’ mereka.

Di situ juga kali pertama kami bertemu Ayu. Dalam kelompok Dato’ Kadir, Oil Tycoon yang kaya dengan harta pusaka bapanya, dan sedang lari dari tuntutan saman berjuta jandanya.

Ayu lain dari gadis-gadis tipikal Dato’ Kadir. Dia yang mengawal, tidak dikawal. Dia bukan macam anjing yang patuh segalanya demi makanan dan belaian. Dia seperti kucing yang cuma endahkan hal sendiri, sombong bila cuba dibelai dan datang mengendeng bila tidak diduga.

Tapi dia juga curi-curi pandang pada kami Jantan Kota yang tak berdaya ini dan memekik dalam hatinya ‘aku akan selamatkan kamu berdua’.

Oh Ayu, tolonglah selamatkan kami.

Wednesday, June 16, 2010

JANTAN KOTA: Episod 2 'AYU'

AYUMI namanya. Gadis dua bangsa. Beribukan Jepun dan berbapakan Jawa. Ayu nama panggilannya. Ayu hadir dalam kemelut aku dan Ishaq, dua Jantan Kota.

Perempuan 'Cantik' mudah digambarkan. Ambil contoh Seniwati Zaitun, Tun Teja dalam filem Hang Tuah. Aku jatuh cinta pada kecantikannya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Raut wajahnya sudah cukup untuk mempercepatkan proses akil balighku. Agaknya itulah sebab guru Bahasa Melayu waktu darjah 5 tersipu malu bila aku tenung wajah cantiknya penuh gelora. Kurang ajar punya budak!

Perempuan 'Ghairah' juga mudah diterangkan. Contoh terbaik adalah Biduanita Saloma atau Normadiah dalam ‘Panggilan Pulau’. Lakonannya yang terkesan bersama Biduan Nordin Ahmad. Siapa boleh lupa babak 18SX di jendela itu? Tapi ada sesuatu di dalam senyuman dan lirikan mata Normadiah yang mencerminkan ghairah. Tak perlu menayang ‘tali G’, dan tak perlu dada silikon yang sentiasa ‘tidak setuju’ dengan kepala bila mengangguk – kejung kaku.

Perempuan 'Anggun' juga tidak susah. Lihat saja Lagenda hidup Sarimah dalam filem pertamanya ‘Ali Baba Bujang Lapok’. Waktu itu dia baru berumur 17 tahun. P. Ramlee yang bertanggungjawab memperkenalkan wanita unggul itu. Bijak, petah, lemah gemalai, melengkapkan istilah Anggun. Biarpon Sarimah sudah menopaus, tapi kalau dia sudi menjadi isteriku, biar aku ‘berpuasa syahwat’ seumur hidupnya, bukan seumur hidupku. Anggunnya kekal hingga kini, tanpa bantuan Botox dan tempe, tidak juga lehernye menggelebeh laksana lembu qurban.

Tapi Ayu yang ini sukar. Rupa parasnya rumit untuk digambarkan. Dia punya imbangan cantik, ghairah, dan anggun yang mengkomplimasi satu sama lain. Jargon lain perlu dicipta untuk memuaskan persoalan ini. Walhal namanya sendiri agaknya sudah cukup untuk menjadi jawapan – AYU. Ya, Ayu itu ayu.

Ayu adalah pelengkap Jantan Kota. Masalahnya, Jantan Kota ini ada dua. Tak perlu persoal kenapa Tuhan tak benarkan poligami untuk wanita. Kami tak sanggup berkongsi, tidak sama sekali.

Aku dan Ishaq setuju untuk ‘pertumpahan darah dan dara’ untuk mendapat hak melengkapkan puzzle terakhir seorang Jantan Kota. Aku dan Ishaq setuju untuk satu permainan gila, Ayu sebagai hadiahnya. Players, let the game begins!

JANTAN KOTA: Episod 1

‘JANTAN KOTA’. Bagaimana hendak aku ungkaikan istilah ini? Jargon yang aku cipta untuk tekankan imej maskulin pada Lelaki Bandar. Yang ramai maklum sudah umpama ayam bandar yang lembik dicucuk ubat gemok.

Lembik serba-serbi. Aku taknak sentuh perkara ‘lembik’ yang terselindung di sebalik sepasang seluar khakis. Walaupun pada hakikatnya berlambak iklan-iklan ‘kopi kuat’ cuba yakinkan kaum aku yang kami perlukan sumber afrodisiak tambahan untuk membantu kejantanan. Macamlah majalah hiburan, video porno amatur, dan ‘gadis berbaju tapi telanjang’ di luar sana tidak cukup.

Lelaki Metropolis lembik dan manja. Mereka berungut bila alat kawalan jauh TV hilang dari pandangan. Padahal TV hanya sejengkal di depan mata. Mereka protes bila jalan sesak dengan pemanduan buruk pemandu lain. Padahal keterburuan mereka sendiri berpunca dari pengurusan masa yang hodoh. Mereka komplen pada perempuan yang tak melayan ‘uratan’ mereka serta memilih bulu. Padahal bulu hidung dan ketiak mereka sendiri tak berjaga, dan poket pula tak pernah berisi.

Rata-rata lelaki bandar tidak belajar dua perkara, kerana subjek-subjek ini tidak diajar di sekolah – Ilmu Duit, dan Ilmu Pikat.

Tapi aku dan Ishaq berbeza. Kami datang dari kampong. Tapi kami adalah Jantan Kota sejati. Kami tak perlu alat kawalan jauh TV. Sebab kami dah biasa guna kaki untuk menukar rancangan TV. Kami punya kenderaan berkuasa tinggi. Hasil titik peluh dan mentaliliti yang setanding usaha, untuk elak dari kesebokan dan kebodohan yang tak perlu.

Dalam department kewangan, Ishaq berkerjaya professional dengan wang lumayan. Dan aku usahawan yang kaya masa dan adrenalin. Ishaq memilih lifestyle bermandikan cahaya malam kota, penuh glamorous dan godaan. Aku lebih suka peluh dan lumpur, penuh bahaya dan cabaran. Ishaq adalah lover dan aku adalah fighter. Bruce Wayne dan Batman.

Soal perempuan, Ishaq ada tarikan semula jadi. Aku jenis yang menduga batasanku untuk mendapatkan si gadis. Kami bagai irama dan lagu.

Tapi kehadirannya akan memincangkan. Perhubungan Jantan Kota kami bakal tergugat. Pertumpahan maruah tak dapat dibendung lagi. Aku atau Ishaq – AYU, perlu pilih.

Saturday, June 12, 2010

Bola What?!

Dua tiga kucing menari
Mana nak sama si kucing bangang
Piala Dunia menjelma lagi
Bilalah pula nak merasa tengok pemain Malaysia beraksi,
ohoi Cik Rosmah seksiku sayang?

Soalan tersuratku lebih tak masuk akal berbanding pantunku nan mengundang penerajang.

Kenapa? Apa masalahnya?

Persoalan kredibiliti pasukan bola sepak kita di pentas dunia bagai menanyakan ketulenan dada serta wajah Kak Nita, atau mempersoalkan kemanakah mengalirnya cukai pendapatan kita – tiada siapa yang mampu beri jawab, tulus dan tepat.

Adakah kita berbeza secara fizikal dengan orang Jepun atau Korea?

Tengok Korea Utara. Aku tahu republik itu punya X-factor – yang terletak bukan pada kerisnya yakni senjata nuklearnya, tapi pada huruf 'kaf' untuk Kim Jong Il; diktator merangkap 'tuhan' mereka. Jepun dan Korea Selatan akan terkucil senyap-senyap bila mendengar saja nama itu.

Sewaktu bapa KJI mati, anak-anak kecil beratur sepanjang jalan mayatnya diarak sambil menghantuk kepala ke tanah tanda sedih yang amat. Aku ulang, 'anak-anak kecil'. Minda dan hati mereka dibentuk dari kecil untuk tunduk pada pemerintah, dan fizikal mereka mampu buat apa yang akal arahkan – bukti kewujudan mereka di Afrika Selatan.

Apa kurang kita? Kita juga punya 'diktator'. Yang mungkin agak sebok 'membentuk' tembolok anak-bini dan kaum kerabat mereka untuk jadi lebih gemok.

Walau Tun Dr. M meletakkan faktor genetik penyebab kelemahan ekonomi bangsa kita dalam Malay Dilemma, tapi dalam sukan kita mampu – kita pernah ada Super Mokh, King James dan the less-talking-more-action Singh in Santokh (not Shebby).

Asyik pula aku menonton bola sepak National Junior League di TV, bila anak-anak kecil kita membelasah anak-anak Mat Salleh dan Jepun di padang bola buruk MBPJ. Ramai yang berbakat. Tapi ke mana mereka akan pergi 5 hingga 10 tahun lagi?

Realiti di Malaysia akan mengheret mereka untuk memilih jalan akademik atau sukan. Dan tak perlulah aku meminta maaf mulut cabulku kerana kenyataannya anak-anak kita yang ber'akal' tentu akan memilih akademik untuk jaminan masa depan, bukan sukan.

Jadi tinggallah anak-anak yang bakal jadi kaki gaduh, kaki disko, kaki kahwin dengan artis dan cerai dan kahwin lagi artis lain dan tak bayar nafkah anak-anak, kaki kahwin dengan Rita Rudaini, dan kaki-kaki bangku.

Biar aku cuba jawab soalan yang bangang itu – YA, Malaysia mampu sertai Piala Dunia!

BILA?

Bila mereka yang betul memimpin, menyalurkan kekayaan negara ke jalan yang betul, dan membuatkan masa depan sukan selumayan akademik – maka mereka yang betul layak menjadi pemain bola sepak Malaysia akan muncul dan berbakti untuk diri sendiri, mereka yang betul memimpin, negara, dan untuk jalan yang betul.

'Eh, berapa banyak betul da?!'

PS Di saat aku menulis artikel ini, Korea Selatan selesai membelasah bekas juara Piala Euro iaitu Greece 2-0.

Sunday, June 6, 2010

CHEF BOGEL: JD's Carbonara


Versi Melayu Jamie Oliver's 'Naked Chef'.

Memasaklah seperti seorang Jantan Budiman. Memasak adalah lambang seorang Jantan Budiman, a symbol of a Real Man! Kenapa?

1. Memasak JIMAT - langkah pertama untuk KAYA; a Real Man is WEALTHY

2. Memasak SIHAT - tiada yang lebih PENTING daripada kesihatan; a Real Man is HEALTHY

3. Memasak MENARIK - bakal ibu mertua dan anak perempuannya pasti SAYANG - AND a Real Man is SEXY

Tapi tak perlulah pening kepala nak pergi beli pengayak tepung, acuan biskut Raya, atau 'ibu roti' (ragi dsb) sambil berkebaya. Masakan 'lemah-lembut' dan feminine sebegitu kita serahkan pada ibu mertua dan anak perempuannya. Selain daripada BBQ, panggang-memanggang, bakar-membakar, kita boleh belajar memasak makanan International yang harganya di kedai amatlah 'cekik darah'. Pasta, Steak, Gyudon (Japanese) adalah contoh-contoh terbaik.

Jom masak Pasta Carbonara a'la JD.


Ada 3 bahagian penting penyediaan:

a. Pasta b. Sos c. Isi

a. Pasta - Untuk Carbonara (white sauce) gunakan pasta yang lebar macam Fettuccine atau Linguine, bukan Kuey Teow. Spaghetti sesuai untuk Marinara etc (red sauce). Rahsia pasta sedap ialah pada air rebusan. Jamie Oliver pesan biar airnya semasin Air Laut. Boleh guna garam kasar atau garam bukit. Paling penting postur pasta mesti al-dente (periksa bungkusan pasta untuk panduan), biasanya pasta direbus dalam 11-13 minit. Simpan sikit air rebusan. (JD pakai Spinach Fettuccine)

b. Sos - Sediakan 2 biji telur (1 full, 1 kuning shj), cheese (parmesan atau grated cheddar), whipped cream. Pukul sebiji telur dengan cheese dan whipped cream. Tambahkan air rebusan pasta untuk adjust kepekatan. Telur kuning diletak dalam separuh kulit telur sebagai penghias dan boleh digaul kemudian ikut citarasa, atau digunakan sebagai pengilat kuih tart Raya dan mekap muka jerawat.

c. Isi - Carbonara asli menggunakan Panchetta atau daging 'Kerbau Pendek' salai. Kalau anda masih Muslim, gunalah daging yang Halal'an Toyyibah. Boleh guna udang, ayam, atau daging. Syaratnya mestilah dipotong kecil-kecil dan pastikan garing. Tumis dengan 2-3 sudu besar minyak Zaitun (tiada kolestrol), 2-3 ulas bawang putih (hancur), hirisan cili (atau serbuk cili kasar), cendawan Shitake, salt and pepper.

JD's Carbonara ialah resipi 2 dalam 1; macam meminang anak dara lawa yang boleh membebel sambil memakai mekap. Anda boleh makan sebagai appetizer atau pembuka selera dengan hanya Pasta dan Isi yang digaul sekali. Kemudian tambahkan Sos untuk melengkapkan hidangan main course anda.



Dan lihatlah senyuman lebar bakal ibu mertua dan berdoalah anak perempuannya menyediakan 'pencuci mulut' untuk anda, wahai Jantan Budiman.