Saturday, June 12, 2010

Bola What?!

Dua tiga kucing menari
Mana nak sama si kucing bangang
Piala Dunia menjelma lagi
Bilalah pula nak merasa tengok pemain Malaysia beraksi,
ohoi Cik Rosmah seksiku sayang?

Soalan tersuratku lebih tak masuk akal berbanding pantunku nan mengundang penerajang.

Kenapa? Apa masalahnya?

Persoalan kredibiliti pasukan bola sepak kita di pentas dunia bagai menanyakan ketulenan dada serta wajah Kak Nita, atau mempersoalkan kemanakah mengalirnya cukai pendapatan kita – tiada siapa yang mampu beri jawab, tulus dan tepat.

Adakah kita berbeza secara fizikal dengan orang Jepun atau Korea?

Tengok Korea Utara. Aku tahu republik itu punya X-factor – yang terletak bukan pada kerisnya yakni senjata nuklearnya, tapi pada huruf 'kaf' untuk Kim Jong Il; diktator merangkap 'tuhan' mereka. Jepun dan Korea Selatan akan terkucil senyap-senyap bila mendengar saja nama itu.

Sewaktu bapa KJI mati, anak-anak kecil beratur sepanjang jalan mayatnya diarak sambil menghantuk kepala ke tanah tanda sedih yang amat. Aku ulang, 'anak-anak kecil'. Minda dan hati mereka dibentuk dari kecil untuk tunduk pada pemerintah, dan fizikal mereka mampu buat apa yang akal arahkan – bukti kewujudan mereka di Afrika Selatan.

Apa kurang kita? Kita juga punya 'diktator'. Yang mungkin agak sebok 'membentuk' tembolok anak-bini dan kaum kerabat mereka untuk jadi lebih gemok.

Walau Tun Dr. M meletakkan faktor genetik penyebab kelemahan ekonomi bangsa kita dalam Malay Dilemma, tapi dalam sukan kita mampu – kita pernah ada Super Mokh, King James dan the less-talking-more-action Singh in Santokh (not Shebby).

Asyik pula aku menonton bola sepak National Junior League di TV, bila anak-anak kecil kita membelasah anak-anak Mat Salleh dan Jepun di padang bola buruk MBPJ. Ramai yang berbakat. Tapi ke mana mereka akan pergi 5 hingga 10 tahun lagi?

Realiti di Malaysia akan mengheret mereka untuk memilih jalan akademik atau sukan. Dan tak perlulah aku meminta maaf mulut cabulku kerana kenyataannya anak-anak kita yang ber'akal' tentu akan memilih akademik untuk jaminan masa depan, bukan sukan.

Jadi tinggallah anak-anak yang bakal jadi kaki gaduh, kaki disko, kaki kahwin dengan artis dan cerai dan kahwin lagi artis lain dan tak bayar nafkah anak-anak, kaki kahwin dengan Rita Rudaini, dan kaki-kaki bangku.

Biar aku cuba jawab soalan yang bangang itu – YA, Malaysia mampu sertai Piala Dunia!

BILA?

Bila mereka yang betul memimpin, menyalurkan kekayaan negara ke jalan yang betul, dan membuatkan masa depan sukan selumayan akademik – maka mereka yang betul layak menjadi pemain bola sepak Malaysia akan muncul dan berbakti untuk diri sendiri, mereka yang betul memimpin, negara, dan untuk jalan yang betul.

'Eh, berapa banyak betul da?!'

PS Di saat aku menulis artikel ini, Korea Selatan selesai membelasah bekas juara Piala Euro iaitu Greece 2-0.

1 comment:

  1. setuju. bile lagi nak tengok MALAYSIA masuk world cup. negare afrika yang miskin pun boleh layak. *sigh*

    ReplyDelete