Monday, October 1, 2012

JEPUN satu!



ルイ川 Rui Gawa
作曲(sakyoku)Songアイザット/アナス(Aizatto/Anasu)
作詞(sakushi)Malay Lyricsアイザット/アナス(Aizatto/Anasu)
翻訳(honyaku)Japanese Lyricsナディル/JD(Nadiru/JD)

瞳を閉じてくれて、hitomi-wo tojite kurete
地球の声を聞いて、chikyu-no koe-wo kiite
疑いなく、utagai-naku ここは君の場所、koko-wa kimi-no basho
変わったとしても、kawatta to-shitemo心には残るよ、kokoro-ni-wa nokoru-yo
信じているならば、shin-jite-iru naraba
Pejamkan matamu untukku
Dengarlah dunia berkata-kata
Usah kau ragu di sini tempatmu
Walau berubah di mata kita tetap indah
Selagi kau masih percaya

笑って、悲しむ、分かれて、waratte, kanashimu, wakarete
道のりが行き詰まる、michi-nori-ga yuki-zumaru
この全てが願うものだろうか、kono subete-ga negau-mono darouka
ただこの世を追い続けてるだろうか、tada kono yo-wo oi-tsu-zu-keteru darouka
信じていたいのさ、shin-jite-itai-no-sa
Ketawa kecewa terpisah
Jalan yang lurus kian berhalang
Adakah semua ini yang ku inginkan
Ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
Ku harap ku masih percaya



この全てが願うものだろうか、kono subete-ga negau-mono darouka
ただこの世を追い続けてるだろうか、tada kono yo-wo oi-tsu-zu-keteru darouka
信じていたいのさ、shin-jite-itai-no-sa
Adakah semua ini yang ku inginkan
Ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
Ku harap kau masih percaya

瞳を開いて、hitomi-wo hiraite
君を抱いて、kimi-wo daite
僕らはお互い、bokura-ha otagai若くて幼い、wakakute osanai
信じて欲しいのさ、shin-jite-hoshii-no-sa
Buka matamu
Biar aku memelukmu
Kita bersama masih muda masih mentah
Ku harap kau masih percaya

今までに、ima-madeni(7x)
Selama ini (7x)
~終~


Monday, September 17, 2012

耳をすませば (mimi wo sumaseba) - dengar-dengarlah...


PEREMPUAN, mereka dianugerahkan dengan pelbagai cara untuk meluahkan perasaan. Bercakap (walaupon dengan bahasa yang jarang-jarang difahami), membebel, meroyan, menitiskan air mata, menangis teresak-esak, menangis di tahap 'raksasa gaban' (rupa yang amat hodoh dengan hilaian lagi memekakkan); sejak dari mula memakai tuala wanita, sehinggalah mereka mula belajar 'diam' tatkala disingkap menopaus. Mereka sungguh 'bertuah'.

Lelaki, kita cuma dianugerahkan Tuhan dengan muzik untuk meluahkan perasaan, dan 'bersembunyi' dari bunyi-bunyian yang tidak menyenangkan lagi membingitkan.

Dari lagu Jay Jay 'Kita Insan Biasa', yang memberitahu beliau tidak kisah Dayangku Intan masih dara atau tidak. Kepada lagu Awie meminta maaf membelasah gadisnya di 'Tragedi Oktober' (sebelum beliau diangkat menjadi ayahanda kumpulan Naga Sakti). Dan lagu Justin Bieber menasihati remaja bagaimana hendak membuat anak dalam 'Baby, baby, baby, ooh...' dan sebagainya.

Lelaki berkomunikasi dengan muzik. Jadi, dengar-dengarlah, wahai wanita.
(Kentut juga sejenis muzik, yang lahir dari bawah hati seorang lelaki. Bila dia sudah selesa melepaskan bunyi-bunyian itu, maknanya dia sudah mula mempercayai wanita itu. Jadi, hargailah dan abadikanlah detik indah itu, wahai wanita.)

Sesungguhnya, bukan niat kami untuk melukai, cuma ada kalanya, kami tidak mengERTI...

Monday, September 10, 2012

ERTI

MAAF, rasa nak 'berkarat' pula hari ini. 'Datang mentari' (kata lawan bagi 'datang bulan') gamaknya.

Lagu 'ERTI' aku tulis berdasarkan pengalaman sebenar. Dulu, waktu zaman 'jahiliyah', aku punya ramai gadis. Genre pilihan aku amat mudah dan cetek. Aku tidak memilih. Cukuplah sekadar cantik. Sekali dan sekala, yang badan ranum nan berlekuk sana sini, pon jadilah. Model, orang TV, orang radio, tukang layan dalam kapal terbang, tukang sapu sampah rumah pangsaku dan ustazah pilihan - setia dan sedia mendampingiku.

Tapi akhir sekali, Yang Maha Mengetahui tinggalkan aku dengan pilihan yang paling sukar. Dua orang survivor. Yang perlukan aku membuat pilihan.

Lagu ini untuk siapa?

Cerita lanjut akan aku dedahkan dalam Novel sulungku yang berkonsep 'How-to', bertajuk:
'Buaya Darat? - Manual Playboy Melayu'

Jika waktu membenarkanku
Biar masa ku putar semula
Kisah antara kau dan aku
Apa sampai di sini begini

Yang ku mahu hanya dia tahu
Aku yang sesal di atas dosa
Cinta antara kau dan aku
Patut ku usung hingga ke syurga

Waktu bersamamu, aku tak pernah peduli
Biarkan hatimu layu, kering dan mati
Akan ku kutip luruh lerai cintaku
Agar kau kembali

Aku tak pernah menyangka kau akan pergi
Tinggalkan semua yang kau beri, dari hatimu
Aku selalu menyangka, kau 'kan menjadi saksi
Apa erti cintaku...

Sunday, September 2, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Playboy Melayu

PAYAH. 'Otoko wa tsuraiyo', lelaki itu payah. Menjadi seorang lelaki itu payah, amat. Menjadi seorang ketua, imam, pahlawan, boss, pejuang dan pencinta. Terutama sekali untuk menjadi seorang lelaki kepada seorang perempuan, dan dalam kes aku, perempuan-perempuan.

Remdhan tahun itu juga amat payah. Puasa kali pertama di perantauan. Jauh dari ibu. Jauh dari Lina. Jauh dari air tebu, dan murtabak yang kurang lebih nasibnya selalu berakhir dalam tong sampah.

Apakah sebab utama Remdhan tahun itu amat payah? Adakah kerana puasa pertamaku di negara matahari terbit ini, terpaksa aku jalani di sebuah hotel yang mungkin dimiliki oleh seorang mafia? Kerana terpaksa menahan nafsu, waktu bekerja sambilan bermain muzik di kelab yang juga menyajikan pertunjukan tari tiang telanjang? Atau kerana tetamu-tetamunya yang kalau silap aku gauli, mungkin boleh mengakhiri nasibku dalam tong sampah? Tidak.

Datang gelap kerana tiada terang. Datang sunyi kerana tiada bunyi. Kejahatan bukanlah satu bentuk yang nyata, ia wujud kerana kebaikan yang hilang. Dan payah itu datang kerana kita sudah terbiasa dengan senang.

Kalau kita dilahirkan celik, dan Tuhan tarik penglihatan kita, itu payah. Tapi jika kita dilahirkan tanpa anugerah penglihatan, kegelapan itu menjadi senang. Tapi, adakah seseorang yang tidak pernah melihat seumur hidupnya, tiba-tiba dianugerahkan penglihatan, akan berasa senang?

Bulan puasa tahun itu, yang payah adalah berbuka tanpa air tebu dan murtabak. Payah tanpa Lina yang menemaniku ke pasar Remdhan, tempat orang ramai berpayah-payah membuang wang dan pahala kerana membazir. Payah kerana tidak dapat merasa masakan air tangan dan kasih ibuku, dan beraya bersama dengan Tok Rodhiah. Menziarah kubur ayah. Dan payah tanpa ibu, Lina, air tebu dan murtabak itu, adalah kepayahan yang dangkal. Namun itulah hakikatnya.

Aku berbuka dengan makanan Jepun yang lazat-lazat, walau hanya bersahur dengan telur rebus, yang aku minta dari dapur hotel dan aku humban ke dalam cerek elektrik di bilikku. Puasa di musim sejuk amat senang, kerana siangnya pendek. Bayaran untuk kerja senangku juga agak lumayan, walau hanya melalak dua, tiga buah lagu Jepun yang aku hafal.

Berdebar juga hati setiap malam pulang ke bilik, kerana khabarnya si penari tiang tidur di bilik bersebelah. Terngiang-ngiang di benak filem-filem 'biru' Jepun. Dustalah kalau aku kata tidak pernah terdetik di otak adegan-adegan mustahil; tiba-tiba si penari tiang sudah tergelempang bolen di atas katilku - kerana dalam filem-filem 'biru' Jepun, situasi mustahil selalu berlaku.

Si gadis pelayan di kelab makin rapat dengan aku. Dalam terang pon dia sungguh cantik. Kulitnya mulus dan tulus. Mungkin kerana budaya makan orang Mongolia yang gemarkan lemak haiwan, membuatkan kulitnya sentiasa merah gebu dan badannya berisi di tempat-tempat yang patut bagi seorang wanita dewasa. Patut yang meminta-minta ditampar dan dicubit. Namun, aku takkan pernah sanggup mencederakan kecantikan itu, apatah lagi mengebomnya dengan C4.

Pernah aku mengajaknya menemaniku di tepian pantai. Dia tolak. Peraturan di hotel mentadbirkan, tiada pekerja yang boleh dilihat bersama selain waktu kerja. Tegas dan agak kuno undang-undangnya. Tiada siapa yang berani bercerita tentang hukuman jika ingkar. Mungkin kerana tiada siapa yang berani ingkar, kalaupon ada mungkin yang ingkar itu tidak sempat bercerita. Mama Keiko yang bawa si gadis Mongolia itu ke Himi untuk bekerja, bukan untuk dikerja.

Aku bertahan hanya dua minggu di Kubota Inn. Bohongku pada Kubota-san kenapa aku ingin pergi lebih awal dari janji ialah atas urusan di universiti. Bagi mereka yang pernah mendengar cerita ini, aku lari bukan sebab tidak tahan dengan makanan atau serba-serbi.

Hanya Mama Keiko yang menghantarku ke stesyen tren. Aku makin taksub dengan wanita berumur ini. Taksub ini takkan berhenti di sini. Selendang Kashmir yang selalu dipakai di bahu runtuh dalam tiupan angin, menampakkan parut besar tercacah di bahu indah itu. Aku tidak terkejut, kerana ini bukanlah kali pertama. Berat hati hendak meninggalkannya. Berat juga jika tidak.

"Ne...ano yoru, isshou wasurenaiwa. Arigatou. Demo, mou konaide, onegai..."  (Malam itu, sampai mati saya tak akan lupa. Terima kasih. Tapi, tolong, jangan datang lagi...)

Monday, August 27, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Cikgu Rina

Kucing betina, oh si kucing betina
Kau tinggal bau tanda mau mengawan
Cikgu Rina, oh Cikgu Rina
Harum rambutmu buatku mau mengawan tertawan
BILA gadis-gadis yang baru aku dampingi bertanya, siapakah perempuan pertama yang aku jatuh cinta. Cinta pertama. Selalunya akan aku reka cerita, 'maaf, kalau boleh saya tak mau imbau kenangan pahit itu, saya tak mampu...'

Si perempuan selalunya ingin korek rahsia, atas sub-teks ingin memahami diri dan jiwa si lelaki, yang pada hakikatnya ingin 'mengukur' persaingan. Competition dengan gadis-gadis dalam sejarah peradaban dan kejantanan, si Buaya Darat?. Perempuan suka 'buaya darat' (bad boys), kerana ingin mengubahnya, atau ingin menjadi yang terbaik dalam hidup si buaya darat. Kerana buaya darat adalah epitome, lambang lelaki sejati, yang hidup tanpa hipokrisi - jujur bahawa si jantan dicipta untuk mengawan menawan setiap betina, err...yang melintas di depannya.

Hakikatnya, cinta pertamaku ialah pada dia, cikgu Bahasa Melayu waktu darjah lima. Namun namanya bukanlah Cikgu Rina. Aku lupa namanya. Tapi aku tak pernah lupa tahi lalat manis di bibir atas kirinya. Dan aku tak pernah lupa, tahi lalat manis di dadanya, errr...lebih kepada bawah lehernya. Kenapa dia? Cerita itu berhak dapat entri sendiri. Sebab yang ini adalah cerita Cikgu Rina.

Cikgu Rina yang sentiasa berbau harum. Remdhan kali itu, aku masih lagi 17 tahun. Cikgu Tini, Cikgu Salmah, dan Cikgu Rina. Guru-guru pelatih yang menyewa rumah Makcik Ani di belakang rumahku. Ada lima orang semuanya, tapi tiga dara pingitan ini sahaja yang aku ingat.

Ketiga-ketiga mereka selalu singgah ke rumah. Bermanja dengan ibuku, kononnya. Cikgu Tini, yang paling 'gedik', aku pasti syok dengan aku. Selalu juga bertepuk tampar. Umur mereka pon tak jauh beza. Mungkin 4, 5 tahun lebih tua. Sedang-sedang elok ranum. Tunggu gugur ke tanah saja, atau tunggu gugur kain batiknya cuma.

Pernah Cikgu Tini bergurau senda hingga cuba menanggal tualaku tatkala ingin ke bilik mandi. Nasib baiklah aku ini suci dalam debu. Kalaulah bukan kerana reputasiku dengan Cikgu Rina, yang sentiasa berbau harum, sudah aku jolok buah di pokoknya - biar botak rendang buahnya. Puasa, puasa.

Petang-petang sementara menanti waktu berbuka, aku dan Cikgu Rina akan berbasikal keliling kampung, konon-konon ingin memahami diri dan jiwa. Ibuku kurang berkenan, segan dengan jiran-jiran. Apatah lagi Cikgu Tini. Oh ya, Cikgu Salmah yang 'tembam-tembam berair' paling rapat dengan ibuku. Memasak bersama, main bersama, hey-hey-hey tiga sekawan. Fokus, fokus.

Tibalah harinya untuk aku mencium bau harum rambut Cikgu Rina lebih dekat. Dan mencuba nasib memegang tangannya. Aku baru 17 tahun, dapat pegang tangan pon, jadilah. Modus operandi, tengok wayang di Pawagam Arasu, yang selalunya menayang wayang Tamil. Kamal Haasan pon Kamal Haasan lah...

Lepas 'tak terawikh' (kata lawan pada lepas terawikh), kami berbasikal ke panggung-wayang-gambar. Aku tak ingat langsung cerita apa, cuma yang aku tahu, aku perlu memberanikan diri memegang tangan Cikgu Rina. Berpeluh. Gemuruh. Nyaris aku tidak berpelikat.

Tanganya lembut, tanganku berminyak, peluh jantan. Kaku. Tangan kami kaku. Aku tak tahu apa yang perlu aku laku. Kaku. Tiba-tiba aku terbau. Bukan bau kucing betina mau mengawan. Tapi bau yang, terlalu kurang menyenangkan. Memenuhi rongga hidungku. Rongga dadaku. Mual rasa perut. Hampir terkeluar semula mee Pangkor habuan berbuka tadi. Memang pedas mee Pangkor ibuku tadi, tapi kalau badan mahu bereaksi sekalipon, tentu dari perut ke bawah.

Pernahkah anda terbau stoking busuk yang direndam di dalam telur tembelang dan dilempangkan ke muka berliur basi anda? Saya juga tidak pernah. Tapi bau laknat itu mungkin kurang jika tidak lebih dari perumpamaan ini.

Tapi, di pawagam itu cuma kami berdua.

Mee Pangkor, oh mee Pangkor ibuku
Pedasmu sungguh meruntun mulut dan perut
Cikgu Rina, oh Cikgu Rina sayangku
Sedang jantanku bergelora, kenapalah kau kentut?

Thursday, August 16, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Si Badan Bercacah

"Yono naka dewa, mieru mono to mienai mono ga aru." (Dalam dunia ini, ada perkara/benda yang boleh dan tak boleh dilihat.)

"Sono toki, mimiwo sumaseba yoi..." (Kala itu, dengar-dengarlah (dengan hatimu)...)

Aku benci perumpamaan. Aku juga menyampah bila aku cuba tanya Lina pabila dia menarik muka 1 'empat belas', apa punca panjang muncungnya, apa yang buat dia tak keruan. Jawapannya, 'tak ada apa-apa', selalu.

Aku, dia, dan seluruh gerombolan lelaki di muka bumi ini tahu, 'tak ada apa-apa' sama dengan 'ada apa-apa'. Mereka cuba menyuruh kita membaca fikiran macam seorang nujum Pak Belalang. Susah benarkah hendak menjawab terus terang?

Begitu jugalah dengan Kubota-san. Itulah jawapannya bila aku bertanya status lelaki yang berkot merah, rambut ala-ala berus sabut, side-burn 70an, reminis lagak si Lupin The 3rd. Kenapa hormat sungguh mereka pada dia ini? Hormat sungguh-sungguh.

Mama Keiko. Dia yang akan uruskan aku. Dia juga yang uruskan kelab di Kubota Inn. Tempat penginap berkaraoke, mabuk, dan berkaraoke dan mabuk. Itulah anggaranku. Berdebar juga hati, katanya aku perlu jadi opening act, menghibur, sebelum acara utama. 30 minit sebelum jam 9 malam.

Dari pengetahuan, bukan pengalaman, (diulangi, dari pengetahuan), ada tiga jenis kelab 'hiburan lelaki' di Jepun. Pertama 'Kabakura', tempat lelaki dilayan pelayan wanita untuk berkaraoke dan mabuk, sambil berbual mesra. Tidak dibenar bersentuhan berat, yakni meraba. Kedua 'Oppai Pub', lebih kurang yang pertama, cuma yang ini boleh bersentuhan berat, bahagian atas torso pelayan wanita sahaja. Dan ketiga 'deri-heru', (daripada health-delivery), 'penghantaran kesihatan', pandai-pandailah anda mena'kul yang ini. Pengetahuan.

Mama Keiko meperkenalkan aku pada pelayan-pelayan kelab. Semua wanita. Tak nampak pula kelibat bouncer kelab. Agaknya, mabuk orang Jepun penuh santun dan sopan. Tiada kekerasan. Agaknya. Atau ada yang memantau dengan sebuah kekuasaan, yang mengawal keseimbangan.

Keiko Kurihara. Umurnya mungkin sudah menjangkau awal 50an. Renungan tajam namun penuh mesra tatkala matanya tersenyum padaku, menyembunyikan seribu satu kisah. Wajah jelitanya yang sedang dimamah usia, masih kekal anggun disebalik kedutan halus di tepi matanya. Lembut lenggoknya, bagai dicongak sempua kesempurnaannya, sama lembut dengan tutur bahasa. Terutama waktu berdepan dengan tok nujum, Kubota-san.

Dia layak menjadi isteri seorang Shogun (jeneral tentera), tidak, lebih layak sebagai isteri seorang Yakuza. Walau bilah katana (pedang) menari di lehernya, takkan sebutir rahsia si suami akan terlepas. Biar dia mati. Tiada maruah yang akan terhempas.

"Ah, kalaulah saya lahir 30 tahun awal, akan saya pastikan hati Keiko-san saya miliki," gurauku pura-pura berani. Lancang mulut ini yang bergerak dalam 'auto pilot' bila berdepan wanita cantik.

Mujurlah Mama Keiko ketawa. Dan ketawanya, lembut dan manja. Dia juga wanita, perlu dipuja.

Tetamu utama tiba. Si Lupin The 3rd tiba. Diiringi seorang lelaki Jepun bagak, besar macam kotak TV 100 inci buatan Korea. Dan Kubota-san. Pelik sungguh si 'jambul berus sabut' ini, auranya pelik. Entahlah. Mungkin aku yang tak mengerti. Mama Keiko berlari ke arah si 'side-burn 70an', mempersilakan dia ke tempat duduk. Kemudian berlari ke arah Kubota-san, berbisik, dan mengangguk.

Seorang pelayan pula berbisik padaku. Katanya, Mama Keiko pesan, aku tidak perlu lakukan apa-apa di malam pertama. (Cis!) Disuruhnya aku mengambil mana-mana minuman dan duduk di bahagian paling belakang, menonton persembahan. Adalah tak sampai sepuluh orang tetamu lain. Semua minuman adalah gratis (percuma). Terkejut dia bila aku bilang, aku tidak minum minuman keras. Aku capai segelas Coke dan mendapatkan kerusi 'grand-stand', untuk menyaksikan persembahan, dan menyaksikan gelagat si 'lelaki pelik' berkot merah berseluar yankee. (Petikan dari 'Tiga Abdul')

Si pelayan sempat menjeling padaku. Dia senyum. Walau dalam kelam cahaya, aku tahu dia sungguh cantik. Aku 'lihat' sungguh-sungguh dengan telinga hatiku. Aku jumpa 'shukudai' (homework) baru. Aku senyum. Dia tersipu. Dan aku terkedu.

Bukan kerana dia, tetapi terkedu dengan apa yang bakal aku lihat. Di atas pentas, berteman hanya tiang sebatang, muncul seorang wanita berpakaian menjolok mata dan imanku yang nipis ini. Lagu 'Pink Lady' berkumandang. Tarian tiang semakin rancak. Semakin ghairah. Pakaian dia sudah tidak dapat menjolok mata, dan imanku yang nipis ini, kerana dia sudah tidak berpakaian lagi. Lucut satu demi satu. Lelaki-lelaki bersorak, kecuali dia...

つづく (bersambung lagi...)

1 Aku sendiri tidak tahu apa maksudnya, kerana aku juga, ingin berperumpamaan

Sunday, August 12, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Tari Tiang

"Encik, boleh tolong letak gitar encik ini di atas?" Pramugari MAS yang petite, ('lentik-molek' dalam Bahasa Melayu, agaknya) cuba untuk mempersoal keputusan aku. Aku berkeras untuk meletakkan gitar 'mahal' (al-maklum, kali pertama mampu beli gitar akustik sendiri yang bukan dari jenama Kapok), di depan tempat dudukku, bukan di kabin atas kepala.

"Awak tau berapa harga gitar ni (mahal sikit dari Kapok)? Kalau apa-apa berlaku di atas tu, awak nak tanggung?" Ayat mulut dan pandangan mata kena firm, biar dia tahu siapa 'Sivaji The Boss'.

"Suka hati enciklah..." Si lentik-molek mengalah.

'Ada juga yang bakal kena tampar bahagian belakang-bawah-pinggang-atas-peha ni nanti,' bisik hati besarku.

Pakcik Jepun yang duduk di sebelahku hanya tersenyum kambing. Kakinya dilunjur. Kami duduk paling depan kelas ekonomi. Stokingnya berlubang. Tapi senyumnya kemas.

"Kimi wa myujishan (musician) ka?" sapanya. (Terjemahan: kamu ni ahli muzik kah?)

Perjalanan tujuh jam pulang ke Jepun aku penuhi dengan mendengar cerita Kubota-san. Beliau adalah tipikal Jepun, yang survive Perang Dunia ke-2; ditampar kepayahan, dan keluar darinya dengan jaya. Dia tak perlu sebut dia berjaya, aku cuma perlu kutip dari vokabulari yang dipilih rapi, disusun dengan bait-bait bernas himpunan pengalaman dan pengetahuan luas. Cuma ada sikit kasar dalam lenggok bahasanya, bukan orangnya, tapi lenggok bahasanya.

Sekali-sekala Si lentik menjeling ke arahku. Minta dicubit agaknya. Tapi aku sudah berpunya. Kalau aku belum komit dengan diri sendiri, dan Lina, gadisku yang jauh lebih lentik dan molek di Universiti Malaya; sudah pasti aku akan layan manjanya. Fokus, fokus.

Waktu berpisah, Kubota-san menghulur kad bisnesnya. Budaya orang Jepun, sentiasa kekalkan koneksi (connection, pelik juga Bahasa Inggeris yang di-Melayukan).

'Kubota Inn - Hotel and Onsen (natural hot-spring)'

Tetsuo Kubota - Owner

"Asobini oideyo. Uchino kurabu de, myujishan no arubaito demo..." (Terjemahan: datanglah bermain ke hotel saya, buat part-time main muzik di kelab.)

Cuti musim sejuk tahun 1999, aku mengembara ke Himi-coast, Toyama, menggendong gitar mahalku naik keretapi ekspress menuju Kubota Inn. Bulan Remdhan. Bulan Puasa pertamaku di Jepun.

Agak panjang perjalanan. Tidak ketemu pula mana-mana gadis lentik molek Jepun. Kerana gadis Jepun tidaklah terkenal dengan bahagian belakang-bawah-pinggang-atas-peha mereka, yang molek tapi tak cukup lentik.

Dari bandar Toyama, aku perlu ambil sebuah tren kecil ke perkampungan nelayan, Himi-coast. Sejam hanya sebatang tren. Dan aku yakin 80% dari penumpangnya saling kenal mengenali.

Pulau Jepun, walau disumpah dengan bencana alam, gempa bumi, tsunami dan gunung berapi; namun dirahmati begitu indah, apatah bila diamati dari kedekatan. Udara yang nyaman, menghuni ruang rongga dadaku yang berbulu 'segan silu' ini. Nyaman yang nyata datangnya dari bersih dan suci tanah serta pokok-pokok. Serta budi pekerti penghuni bumiNya, menambah seri ciptaan yang haqiqi.

Sampai saja aku di perhentian terakhir, walau itulah saja perhentiannya, sebuah limo sudah tersedia menunggu. Dengan namaku besar-besar terpampang atas sekeping 'kad manila' (siapa-siapa tolong panjangkan padaku sejarah nama kertas ini).

Aku disambut bagai OPS (Orang Penting Sangat; VIP). Terus dibawa berjumpa Kubota-san di pejabatnya. Kecil dan sederhana. Tak serupa bilik seorang pemilik sebuah hotel besar, dalam gambaran cetekku.

Hotelnya gah, dengan ramai pengunjung OPSS (Orang Penting Sangat-sangat; VVIP), kelas atasan 'movers and shakers', dan juga, Yakuza. Orang Jepun gemarkan 'onsen' (kolam air panas), terutama pada musim sejuk. Perihalnya, Yakuza yang memang zahir bercacah tatu penuh di belakang badan, sebagai tanda kesetian, diharamkan dari onsen awam. Kerana dikhuatiri menakutkan pengunjung lain.

Jadi, Kubota Inn adalah antara yang julung, menghalalkan kunjungan Yakuza. Membuatkan aku terpaksa menimbal semula koneksi aku dengan Kubota-san. Dengan kata lain, Kubota-san bukan calang-calang orang. Bukan, calang-calang orang...

つづく (bersambung)

Tuesday, July 31, 2012

Remdhan 3.0 - Cinta Kain Pelikat

 BULAN puasa menjengah tiba.

Bila sebut bulan puasa, beberapa nama akan terus menyelinap ke dalam minda dan juga pelikatku. Imah (bukan nama sebenar), Zainal Ariffin Ismail, Firaun Ramses dan Cikgu Rina (nama sebenarnya aku lupa).

Suara Zainal Ariffin Ismail, sangat sinonim dengan bulan mulia ini, kerana aku dan ibu gemar menonton Jejak Rasul. Suaranya yang tenang, menenangkan hati jantanku yang jarang-jarang tenang.

Firaun Ramses. Aku tak tau berapa orang yang ingat cerita Firaun ini, berbelas-belas tahun dulu. Alih bahasa. Ada Qorun, Yuyu si badut, dan heronya nama Amir Miktaf (kalau salah tolong jolokkan).

Tapi nama yang paling takkan aku lupa ialah Imah, gadis pertama aku telanjangi, waktu kami berusia enam tahun. Atas dasar mengkaji. Dan pada ibuku, aku jelaskan ia atas preteks 'perubatan'.

"Kami main doktor-doktor..." jawabku bila dijerkah ibu, sewaktu terserempak kami di bilik tidur.

Aku tak pandai menipu. Memang kami main doktor-doktor. Dan aku terpaksa memeriksa seluruh badan Imah, kalau-kalau dia sakit. Tapi, aku agak mahir dengan kata-kata. Kerana aku tau, dengan bait-bait ayat yang tepat, kita akan dapat apa yang kita mau - walau sekadar mencium bau.

Puasa kali itu, aku sudah 17 tahun. Pulang dari asrama untuk bercuti Raya. Sedang menonton Jejak Rasul di rumah. Imah menjengah tiba.

"Assalamualaikum makcik (baik sungguh anak dara orang ini)." Pekik Imah buat ibuku di pangkin.

"Saya nak minta air batu sikit, boleh?"

"Ambillah. JD (juga bukan nama sebenar), ada dalam rumah." Ibuku masih berceramah di pangkin.

Imah masuk ke dalam rumah. Aku berbaring di depan TV, berpelikat. Imah dah dewasa. Bukan lagi budak perempuan enam tahun yang aku 'rawati'. Memang dewasa. Dah 'berlekuk' sana sini. Terasa ingin menjadi seorang doktor semula. Mudah-mudahan dapat ke angkasa, jadi angkasawan negara.

Aku 'menelanjangi' Imah lagi. Ampunkan aku. Ampunkan khilaf dalam khayalanku. Cuma khayalanku. Tapi aku juga bukan budak lelaki enam tahun, yang keletah itu lagi. Badanku juga sudah berlekuk sana sini.

Mungkin dosa dan balasan berlaku secara tunai, hari itu. Kain pelikat menderhakaiku. Tidak pernah aku arah askar komando atau sesiapa mendirikan khemah di bawah pelikat. Namun, kain pelikat tetap menderhakaiku. Badanku, kejantananku, sebenarnya patuh pada akalku. Cuma kain pelikat itu, menderhakaiku.

Imah terpandang aku, dan pelikat derhaka itu. Merah padam wajahnya. Terus dia berlari-lari anak dara sunti keluar dari rumah, lari dari mata dan akal, yang patuh milikku. Celakalah kau kain pelikat.

"Imah, kenapa tak ambil air batu, dah habis ke dalam peti ais?" Laung ibuku terpinga di pangkin.

"Terima kasih makcik. Tiba-tiba terasa nak minum air sirap suam. Tekak saya sakit," tipu Imah.

Kasihan Imah, dia sakit...

つづく (bersambung)


Sunday, June 24, 2012

Simpati VS Empati

JUST run! Run uphill! (Lari, lari ke tempat tinggi)


1. Tsunami.

2. Ombak besar? Malapetaka? Balasan dosa? Wayang gambar? Pengajaran? Ketawa? Apa?

3. Aku dah tengok dari jarak dekat. Bukan mengalami, cuma tengok. Kesan Tsunami. Kesan pada bumi Jepun, mental, fizikal dan emosi rakyatnya. Dan aku dapat renung, dalam-dalam diri sendiri.

4. Dahsyat. Aku tahu ia dahsyat. Tapi aku cuma dapat tengok, tak dapat rasa, apa yang mereka rasa. Dan terus terang, aku doa aku tak perlu rasa, biarlah sekadar tengok. Maha dahsyat.

5. Kesan runtuhan dan ranapan dari dinding-dinding bangunan, kenderaan, dan mungkin juga rangka manusia (beribu lagi masih tidak diketemui) jika dikumpul boleh dibina 40 buah Tokyo Dome (100 buah Stadium Merdeka). Banyak.

6. Dalam bas ke tempat kejadian, aku tonton untuk kali yang banyak, video sewaktu Tsunami berlaku. Aku terperasan suara seorang tua, menjerit ketakutan dan kebuntuan. Tapi dalam jeritannya hanya kosong, tidak diselit dengan nama Tuhan, kerana mereka tiada Tuhan. Alangkah ruginya, dan terbeban bila dalam malapetaka atau kesusahan, tiada kuasa lebih 'besar' untuk mengadu dan berdoa. Dan ramai survivor dari Tsunami mengambil nyawa sendiri kerana hilang pedoman dan arah.

7. Jepun adalah bangsa yang kuat. Bangsa yang maju. Dan bangsa yang 'berdiri di atas kaki sendiri'. Jadi mereka tidak suka 'pijak' kaki orang lain. Meminta tolong. Dan bila sudah mampu hidup sendiri, dan tidak biasa meminta tolong, mereka sesama sendiri juga tidak tolong-menolong. Bukan tidak mahu, tetapi tidak biasa.

8. Jepun tak perlu dibantu. Bantuan yang Malaysia cuba beri waktu tragedi, dibawah MERCY, ditolak mentah-mentah. Alasan mereka, khuatir dengan kualiti dan keselamatan barangan bantuan. Kalau bangsa kita, belum susah lagi pon sudah kita meminta-minta, jauh sekali menolak kerana curiga. Tapi mungkin ada benar konklusi mereka; tidak ingin menambah beban pada rakyatnya. Tapi, bodohkah kita yang ingin membantu, dengan menambah bala? Mereka tidak biasa.

9. Jadi, kenapa mereka panggil kami ke sana? Ditaja dengan penginapan dan makanan yang selesa, jauh sekali dalam istilah sukarela. Kalau aku kata mereka buat begitu demi menunjuk pada dunia yang mereka sebenar tidak apa-apa, demi menarik semula pelancong hadir, demi menambah semula isi kocek mereka - adakah aku, atau mereka yang tidak bertimbangrasa? Matlamat menghalalkan cara.

10. Aku sayang Jepun. Bukan sahaja wanita-wanitanya yang pernah mewarnai hidup monokromku ini. Jepun beri aku banyak benda. Banyak pengalaman. Banyak pelajaran. Aku atau engkau belum tentu dapat seberang antara simpati ke empati. Dari sekadar kasihan ke benar-benar mengerti. Kesan Tsunami. Dan pada orang luar, yang memerhati, meraka tak akan buka apa yang terpekong. Tapi jika kita masuk dari dalam, dari jiwa dan keakraban, kita akan faham. Kita akan mengerti. Walau tak rasa sakit peha kanan bila peha kiri dicubit, kita akan pura-pura menangis. Bukan niat menipu, tapi ingin berkongsi. Kita tak akan faham selagi tak merasa, dan tak perlu faham. Sakit. Perit. Terpulang pada kita untuk berdiri di mana, di atas garisan 'Simpati VS Empati'.

So run! Run uphill... (Jadi, larilah ke tempat tinggi)

Sunday, May 6, 2012

Siapa Buruh - Mereka, atau Engkau atau Aku?



TERLEBIH dahulu, sebelum aku mencarut yang bukan-bukan, lebih baik aku mengucapkan dengan penuh rendah diri - Selamat Hari Buruh (1 Mei, 2012 tempohari); kepada sesiapa yang rasa dirinya 'buruh', termasuklah aku.

(Nota: Di akhir entri ini, saya akan berkongsi dengan anda cara-cara untuk mendapat 'increment' (naik gaji) sebanyak 25% dalam tempoh setahun)

1. Kuiz Pop #1: Apa beza 'kuli' dan 'buruh'?

2. Kuiz Pop #2: Apa beza kentut bunyi kuat dan perlahan?

3. Jawapan #1 & #2: Tiada beza. Walau zahirnya kentut yang kuat akan mendatangkan malu yang segera, kentut perlahan mampu 'membunuh' dalam senyap selamba - namun kedua-dua keluar dari 'lubang' yang sama.

4. Pabila Datuk Seri PM mengumumkan 'Gaji Minima' untuk para kuli dan buruh, orang-orang yang paling cepat melatah, adalah pengusaha serta pengilang asing, yang cuba mengecap belanja operasi rendah di negara membangun seperti Malaysia.

5. Sebelum aku teruskan, secara profesional, aku seorang jurutera (lepasan universiti Jepun).

6. Aku punya sebuah syarikat kerujuruteraan kecil yang buat kerja dari semegah konsultansi kompeni gergasi Jepun, hinggalah mengangkut sisa-sisa kimia dalam longkang mereka untuk dibuang ke dalam longkang di rumahku.

7. Setelah 5 tahun berhempas pulas menghirup bau longkang, aku meng'automasi'kan kompeniku dengan melepaskan kerja-kerja kepada sub-kontraktor - sambil menikmati  fi-direktor (gaji buta).

8. Untuk melebarkan bisnes, aku perlu pelabur, dan kerana aku tak pernah percaya pada sistem bantuan kewangan negara kita yang tak pernah 'tekun', aku terima ofer dari sebuah trader Jepun bersaiz sederhana (FY2011, Sales RM4Billion).

9. Atas preteks 'perang dari dalam' (akan dibincang dalam entri lain), aku menjadi kuli atau buruh semula.

10. Aku tak nak cerita apa yang boleh dibuat dengan RM900, mari kita tengok apa yang tak boleh dibuat dengan RM900.
- rata-rata orang Jepun yang tinggal di Malaysia berumah di perumahan berprofil tinggi (cth. Mont' Kiara, Saujana Subang, KLCC dll.)
- sewa rumah seorang Jepun boleh menggaji sekurang-kurangnya 3-4 orang kuli atau buruh
- kalau kita makan 'kedekut' sehari-semalam RM10 (hampir mustahil), akan hanya tinggal RM600 untuk rumah, transportasi, anak-bini, (dah naik menyampah aku nak sambung entri ini)
- kita tak boleh bawa supplier (pembekal) dan customer (pelanggan) makan-makan di kedai sushi high-end, yang mampu cecah RM2,000 (gaji dua bulan kuli dan buruh) sekali hadap
- kita tak boleh bawa mereka-mereka dia atas berhibur di karaoke dan spa yang mampu cecah RM8,000 semalam, itu belum dikira dengan golf dan 'dada silikon' gadis-gadis Siam
- pendek kata, pendek sungguh nyawa kita dengan apa yang tinggal

11. Sebenarnya, ada banyak jalan keluar dari 'kesengsaraan' ini. Kita bincang lain kali.

12. Tips 'naik gaji' 25% dalam masa 1 tahun sahaja:
- dalam birokrasi korporat, sama seperti 'mengurat', perlu ada aplikasi 'pain and pleasure' (sakit dan sedap; jangan nak belit ayat aku) - untuk dapat apa yang kita mahu
- sewaktu interview (interbiu), sebelum mereka tanya gaji permintaan kita, dan sebelum tersepit dalam awkward-hesitation ('ragu-malu kera'), tanya mereka dengan telus berapa 'range' (peruntukan) untuk posisi yang ditawarkan (cth. RM4K-RM6K)
- tawar diri untuk mengambil gaji terendah, RM4K untuk tempoh probasi (90 ke 180 hari)
- propose; jika mereka tidak puas hati dengan hasil kerja kita, mereka boleh pecat, dan jika sebaliknya, mereka boleh bayar dengan gaji maksima (sasaran sebenar; RM5K)
- pelajaran penting: 'time frame' (jangka masa) dan 'proving value' (kerja bagai 'orang gila')
- bagi mereka: pleasure (sedap) adalah kerja kuat kita, dan pain (sakit) adalah takut kehilangan kita
- tempoh untuk bekerja bagai 'orang gila' hanyalah 90 ke 180 hari saja, dan mereka (terutama Jepun) akan hargai usaha gila kita, dan tak akan lepaskan 'orang gila' macam kita, kerana mereka juga gila

13. Selamat Hari 'Orang Gila'